BERITA SEMASAPMX

[VIDEO] Kerajaan peruntuk RM100 juta kepada agensi penguat kuasa

Hargai komitmen dan usaha mereka

PUTRAJAYA – Sebanyak RM100 juta diperuntukkan kepada semua agensi penguat kuasa pada tahun ini bagi tujuan perbelanjaan terutamanya mengukuhkan kelengkapan dan menyokong operasi penguatkuasaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu berkata, peranan agensi penguat kuasa adalah penting dalam memastikan pelaksanaan undang-undang berada pada landasan yang betul, dan peruntukan tersebut merupakan tanda penghargaan di atas komitmen dan usaha mereka.

@malaysiatribune

PM umum peruntukan RM100 juta untuk keperluan agensi/jabatan penguatkuasaan pmx pm anwar kerajaanmadani madani anwaribrahim kdn penguatkuasaan

♬ original sound – malaysia tribune – malaysia tribune

“Peruntukan RM100 juta akan sampai selewat-lewatnya Jumaat minggu depan. Insya-Allah, pada tahun 2024, kerajaan akan terus komited memperuntukkan peruntukan khusus mengambil kira prestasi kutipan hasil tambahan yang ditunjukkan oleh agensi penguat kuasa.

“Saya juga meluluskan segera peruntukan sebanyak RM4 juta bagi keperluan kenderaan dan kelengkapan komputer bagi pasukan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya ketika menyampaikan amanat dalam Program Cakna Madani bersama Perdana Menteri, di sini hari ini.

Antara agensi yang terlibat adalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); Jabatan Penjara Malaysia; Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Dalam majlis yang sama, Perdana Menteri turut mengumumkan tiga lagi inisiatif kepada pasukan penguat kuasa antaranya kajian bagi memperkasa organisasi dan menambah baik laluan kerjaya kepada pegawai dan anggota skim penguat kuasa.

Selain itu, kata beliau, mana-mana agensi yang berjaya mencapai kutipan hasil melebihi sasaran, dicadangkan pemberian dalam bentuk pemerkasaan peralatan, kelengkapan dan kemudahan yang diperlukan untuk melaksanakan tugasan dengan lebih berkesan.

Sementara itu, insentif pakaian seragam bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional ditambah baik kepada kaedah bekalan kemudahan pakaian seragam di enam agensi melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM5,502,780 setahun.

Pada masa sama, Anwar turut memberi komitmen untuk mengkaji keseluruhan skim perkhidmatan persaraan penjawat awam dalam satu jawatankuasa khas sekretariat yang akan dipengerusikan beliau pada minggu depan.

Ini kerana katanya, kajian skim perkhidmatan awam tidak dibuat melebihi 10 tahun dan diakui kadar gaji dan upah termasuk elaun penjawat awam relatif nisbahnya adalah rendah.

“Sebagai kerajaan bertanggungjawab kita mencari jalan untuk meningkatkan kadar ini. Walaupun hutang negara mencecah RM1.5 trilion ia bukan alasan (untuk tidak mempertingkatkan kadar itu) saya tak mahu tangguh.

“Sama ada kenaikan itu secara berperingkat iaitu setiap tahun ada kenaikan setimpal dengan kerja mereka, saya fikit pendekatan itu lebih baik untuk melihat semula skim perkhidmatan awam,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button