AMK cadang had subsidi BUDI95 dikembalikan kepada 300 liter sebulan
MELAKA – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mencadangkan kerajaan menyemak semula siling subsidi petrol BUDI95 dengan mengembalikan had kelayakan sekurang-kurangnya 300 liter sebulan, selain mempertimbangkan tambahan sehingga 350 liter bagi golongan yang mempunyai keperluan mobiliti lebih tinggi.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, langkah itu wajar dipertimbangkan sekiranya tekanan harga minyak dunia kembali reda, kedudukan fiskal negara terus kukuh dan hasil kerajaan memberi ruang yang lebih besar.
Menurutnya, had kelayakan subsidi BUDI95 sebelum ini dikurangkan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan bermula April lalu sebagai langkah sementara berikutan peningkatan harga minyak dunia dan kos subsidi.
“Jika tekanan harga minyak dunia kembali reda, kedudukan fiskal negara terus mengukuh dan hasil kerajaan memberikan ruang yang lebih besar, kita mencadangkan supaya siling subsidi BUDI95 disemak semula.
“Sekurang-kurangnya had itu dikembalikan kepada 300 liter sebulan dengan mekanisme tambahan sehingga 350 liter bagi kelompok yang mempunyai keperluan operasi dan mobiliti lebih tinggi, tertakluk kepada pengesahan data serta kriteria yang jelas,” katanyanketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional AMK 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh semalam.
Muhammad Kamil berkata, cadangan itu bukan bertujuan memperkenalkan subsidi tanpa had atau mengabaikan disiplin fiskal negara.
Sebaliknya, katanya, kerajaan perlu mewujudkan mekanisme subsidi yang lebih responsif dan mengambil kira realiti kehidupan rakyat yang berdepan kos sara hidup serta keperluan perjalanan yang berbeza.
“Kita tidak mencadangkan subsidi tanpa had. Kita juga tidak mencadangkan kerajaan mengabaikan disiplin fiskal.
“Apa yang kita minta ialah sebuah mekanisme yang lebih responsif terhadap keadaan ekonomi rakyat,” katanya lagi.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan memanfaatkan data sedia ada bagi memastikan pemberian subsidi dapat dilaksanakan secara lebih bersasar berdasarkan corak penggunaan sebenar penerima.
Menurutnya, golongan yang menggunakan kenderaan untuk perjalanan harian jarak jauh, pekerja yang berulang-alik antara daerah, penduduk kawasan yang mempunyai akses terhad kepada pengangkutan awam serta mereka yang bergantung kepada kenderaan sebagai sumber pendapatan mempunyai keperluan yang berbeza berbanding pengguna biasa.
“Jika kerajaan mempunyai kemampuan untuk mengenal pasti corak penggunaan setiap penerima, maka dasar subsidi tidak seharusnya mempunyai satu siling yang sama untuk semua keadaan.
“Keperluan mereka yang menggunakan kenderaan untuk tujuan pekerjaan dan mobiliti harian lebih tinggi perlu diberikan pertimbangan sewajarnya,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








