BERITA SEMASA

Rakyat Malaysia miliki lesen memandu Singapura boleh mohon BUDI95 mulai esok

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang memiliki Lesen Memandu Singapura (LMS) boleh mengemukakan permohonan subsidi bersasar Budi MADANI RON95 (BUDI95) mulai esok.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya prihatin terhadap maklum balas warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura mengenai pelaksanaan BUDI95, terutama dalam sektor perkhidmatan, seperti pemandu bas, pemandu perkhidmatan sokongan dan pekerja operasi.

Pendaftaran boleh dibuat menerusi laman web www.BUDI95lesenSG.jpj.gov mulai esok.

“Warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura, terutama dalam sektor membabitkan tugas pemanduan, terpaksa melepaskan Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk mendapatkan LMS, walaupun mereka berstatus warganegara Malaysia, menetap di Malaysia dan memiliki kenderaan motor berdaftar di Malaysia yang digunakan dalam negara ini.

“Justeru, bagi membantu Kementerian Kewangan menilai dan mempertimbang permohonan daripada kumpulan ini, kementerian melalui JPJ menyediakan laman web khas ini.

“Perkara yang akan dipertimbang bagi permohonan ini adalah pemohon ialah warganegara Malaysia, LMS yang masih sah tempoh dan status permit pekerjaan di Singapura,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Berdasarkan peraturan pelesenan pemandu Malaysia dan Singapura, seseorang pemandu hanya dibenarkan untuk memiliki satu lesen memandu saja, sama ada dari Malaysia atau Singapura.

Loke memaklumkan, bagi warganegara Malaysia yang mempunyai LMS tetapi tidak lagi bekerja di Singapura atau tidak lagi tertakluk kepada keperluan peraturan domestik Singapura untuk memegang LMS, mereka boleh memohon semula LMM dengan terlebih dahulu membatalkan LMS melalui prosedur sedia ada di Singapura.

Permohonan mendapatkan semula LMM boleh dibuat di mana-mana pejabat JPJ berdekatan selepas disahkan tiada sekatan, penggantungan atau sabitan dikenakan terhadap LMS itu oleh pihak berkuasa Singapura.

“Pemohon boleh menyemak status kelayakan masing-masing melalui laman web rasmi BUDI95 di www.budi95.gov.my selepas 14 hari daripada tarikh penghantaran permohonan.

“Pertimbangan akhir ke atas setiap permohonan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan, berdasarkan semua syarat yang ditetapkan di bawah program subsidi BUDI95,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button