POLITIK

Kritikan isu BUDI95 ibarat ‘tembak kaki sendiri’ – Ong Seng Guan

TAIPING – Kritikan yang ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penyelarasan kuota subsidi petrol BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter disifatkan sebagai ibarat “menembak kaki sendiri” kerana keputusan itu dibuat secara bersama oleh Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pokok Assam, Ong Seng Guan berkata, kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyalahkan Perdana Menteri secara bersendirian tidak menggambarkan keadaan sebenar memandangkan semua anggota Kabinet yang berada dalam kerajaan ketika itu turut terlibat dalam proses membuat keputusan.

Menurutnya, penyelarasan kuota BUDI95 yang berkuat kuasa pada 1 April lalu dibuat susulan peningkatan kos subsidi bahan api dan ketidaktentuan bekalan minyak global, namun harga subsidi RON95 kekal pada kadar RM1.99 seliter.

“Saya rasa kenyataan yang menyalahkan Perdana Menteri mengenai isu BUDI95 ini tidak begitu tepat. Ketika keputusan itu dibuat, semua anggota Kabinet terlibat dan membuat keputusan secara bersama.

“Jadi apabila ada pihak yang cuba meletakkan kesalahan kepada Perdana Menteri seorang sahaja, saya melihat ia seperti menembak kaki sendiri kerana mereka juga sebahagian daripada kerajaan yang membuat keputusan tersebut,” katanya kepada Malaysia Tribune di sini hari ini.

Mengulas kedudukan Kerajaan Perpaduan di Perak, Seng Guan berkata, hubungan kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan negeri masih berada pada tahap yang kukuh dan stabil.

“Perkara itu dapat dilihat menerusi sokongan padu yang diberikan oleh semua wakil rakyat kerajaan ketika pemilihan Ahli Dewan Negara baru-baru ini apabila calon Kerajaan Perpaduan memperoleh 33 undi.

“Di Perak, kita masih berada dalam sebuah Kerajaan Perpaduan yang kukuh. Pemilihan Ahli Dewan Negara baru-baru ini menunjukkan semua wakil rakyat kerajaan memberikan sokongan yang solid.

“Ini membuktikan kerjasama dalam kerajaan masih berjalan dengan baik dan tidak terjejas,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri kini lebih memberi tumpuan kepada usaha merangka Bajet Perak yang akan datang bagi memastikan agenda pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.

“Saya rasa buat masa ini kita tidak perlu terlalu fokus kepada politik. Apa yang lebih penting ialah memastikan ekonomi negeri terus berkembang dan kepentingan rakyat sentiasa terjaga.

“Kerajaan negeri sedang sibuk merancang bajet yang akan datang demi kesejahteraan rakyat Perak,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button