POLITIK

UMNO keluar kerajaan undang kesan besar kepada pengaruh dan kuasa Melayu – Wan Mahussin

KUALA LUMPUR – Cadangan supaya UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan perlu dinilai secara rasional dan berpaksikan realiti politik semasa kerana tindakan tersebut berisiko memberi kesan besar terhadap pengaruh parti serta kedudukan orang Melayu dalam struktur pentadbiran negara.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Jeli, Wan Mahussin Wan Zain berkata, kesan paling segera sekiranya UMNO meninggalkan kerajaan ialah kehilangan kuasa untuk mempengaruhi, meminda atau menyekat dasar yang dibincangkan di peringkat Kabinet.

“Apabila UMNO keluar kerajaan, parti itu secara automatik keluar dari meja rundingan. Semua keputusan akan dibuat tanpa suara UMNO dan parti hanya mampu membantah selepas dasar diluluskan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Menurut beliau, kedudukan pemimpin UMNO yang kini memegang jawatan strategik dalam agensi dan institusi berkaitan orang Melayu turut menjadi persoalan sekiranya parti itu memilih untuk menjadi pembangkang.

Wan Mahussin berkata, sepanjang berada dalam kerajaan, UMNO berperanan sebagai penimbang dan penapis terhadap isu-isu sensitif melibatkan pendidikan, ekonomi Bumiputera, pembangunan bandar Melayu serta agama.

“Di luar kerajaan, UMNO hanya boleh menyuarakan bantahan tanpa sebarang jaminan pandangan itu akan diambil kira. Lebih baik menahan dari dalam daripada menyesal dari luar,” katanya lagi.

Beliau turut berpandangan bahawa pengunduran UMNO daripada kerajaan akan membuka ruang kepada pembentukan pentadbiran tanpa penyertaan parti Melayu tradisional yang mempunyai akar umbi kukuh.

“UMNO keluar bukan melemahkan pihak lain, sebaliknya mengosongkan ruang kuasa Melayu yang selama ini diisi oleh UMNO sendiri,” katanya lagi.

Menurut Wan Mahussin, sebagai pembangkang, UMNO juga akan kehilangan akses kepada jentera kerajaan termasuk dalam pelaksanaan projek, penyelarasan agensi dan penyaluran bantuan kepada rakyat, khususnya orang Melayu.

“Parti lama yang bergantung kepada kerja khidmat akan mati perlahan-lahan jika hanya hidup dengan retorik politik,” katanya lagi.

Keadaan itu, katanya, berpotensi melemahkan semangat akar umbi di peringkat cawangan dan bahagian apabila ahli mula dipersoalkan mengenai sumbangan sebenar parti kepada rakyat.

Dari sudut strategik, beliau berkata, UMNO berisiko ditelan naratif pembangkang lain yang lebih dominan dan agresif sekiranya parti itu memilih untuk berada di luar kerajaan.
“UMNO tidak akan menjadi peneraju pembangkang, sebaliknya hanya menjadi pelengkap kepada parti lain,” katanya lagi.

Selain itu, Wan Mahussin berkata, pengundi sederhana berkemungkinan melihat UMNO sebagai tidak bertanggungjawab kerana keluar daripada kerajaan ketika negara memerlukan kestabilan politik dan ekonomi.

“Pengundi hari ini bukan sekadar melihat siapa betul, tetapi siapa yang stabil dan mampu mentadbir,” katanya lagi.

Beliau turut memberi amaran bahawa UMNO berisiko kehilangan relevansi nasional dalam jangka panjang jika terus berada sebagai pembangkang.

“Generasi muda akan melihat UMNO sebagai parti masa lalu yang gagal menyesuaikan diri dengan realiti semasa,” ujarnya lagi.

Mengulas seruan keluar kerajaan atas alasan maruah dan prinsip, beliau menegaskan bahawa politik tanpa pelan kuasa hanyalah didorong emosi tanpa hala tuju yang jelas.

“Persoalannya, bagaimana mahu menang pilihan raya, dengan siapa membentuk kerajaan dan siapa akan memimpin negara?” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berpandangan langkah paling rasional buat UMNO ketika ini ialah kekal dalam kerajaan bagi membetulkan, menapis dan mempengaruhi dasar dari dalam.

“Keluar kerajaan bukan menguatkan UMNO atau menyelamatkan orang Melayu, sebaliknya melemahkan pengaruh parti dan mengecilkan ruang kuasa Melayu,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, kesedaran politik perlu dibina berasaskan realiti dan bukannya emosi semata-mata.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button