BERITA SEMASADALAM NEGERI

KPT siasat aduan mahasiswa terjejas akibat SST

SUNGAI PETANI – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan akan meneliti secara menyeluruh kesan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap mahasiswa, khususnya berkaitan peningkatan kos sara hidup.

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, berkata, pihaknya mengambil serius segala keluhan yang disuarakan pelajar dan akan memastikan kebajikan mereka terjaga.

Menurut beliau, kementerian sedang mengumpulkan maklumat serta maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk melibatkan kesan perkhidmatan dan barangan tertentu yang didakwa menyumbang kepada beban kewangan mahasiswa.

“Apa yang diumumkan kerajaan melibatkan pelajar antarabangsa berkaitan peningkatan kadar cukai pengajian mereka.

“Namun bagi pelajar tempatan, kami sedang kenal pasti sama ada terdapat impak langsung atau tidak langsung daripada peluasan SST,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Merbok, di sini hari ini.

Tambahnya lagi, KPT telah meminta semua naib canselor universiti awam untuk menjalankan kajian menyeluruh mengenai kesan pelaksanaan SST terhadap kehidupan mahasiswa termasuk dari sudut pembelajaran, perbelanjaan harian serta kos penginapan.

“Sebagai contoh, bagi pelajar yang menyewa rumah di luar kampus, mereka mungkin berdepan kesan daripada kenaikan tarif elektrik. Perkara seperti ini juga akan diteliti dalam kajian yang diminta,” ujarnya.

Semalam, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Amar Aidid Mohd Zain, menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan SST yang menurutnya memberi tekanan kewangan kepada pelajar.

Beliau berkata pelajar kini terpaksa menanggung kos tambahan melibatkan langganan digital, pembaikan peralatan elektronik, dobi dan pembelian dalam talian yang kesemuanya terkesan akibat peluasan SST.

Menurut Mohamad Amar, majoriti mahasiswa berasal daripada golongan berpendapatan rendah dan bergantung kepada pinjaman pendidikan serta bantuan keluarga untuk menampung keperluan harian dan yuran pengajian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button