UMNO perlu menangi hati orang muda
KUALA LUMPUR – Faktor pengundi 18 bakal menjadi penentu untuk UMNO memenangi semula hati pengundi sekaligus menyumbang kemenangan kepada parti itu pada Pilihanraya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, pertambahan pengundi baharu menjadi antara cabaran yang perlu ditangani UMNO berdasarkan prestasi pada pilihan raya umum yang lalu.
Justeru katanya, satu pendekatan yang lebih berkesan perlu dilakukan untuk memenangi semula hati golongan muda khususnya pengundi 18.
“Kalau kita nak ceritakan pasal sejarah pun tak guna sebab mereka tidak akan mengambil kira perjuangan terdahulu UMNO.
“Di tempat saya misalnya, dua kumpulan yang menyumbang kepada kemerosotan undi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum yang lalu (PRU15) adalah golongan pengundi 18 dan pengundi luar.
“Kita sedar dua kumpulan ini ada kuasa memilih yang kuat, sebab itu perlu diurus dengan baik bagi memastikan kemenangan berpihak semula kepada kita,” katanya kepada pemberita di Jamuan Makan Tengahari Ketua UMNO Bahagian Maran, semalam.
Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan perwakilan dari Pahang.
Shahaniza berkata demikian ketika diminta mengulas persediaan UMNO Maran untuk berdepan dengan saingan calon Perikatan Nasional pada PRN kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang itu berkata, pemilihan calon juga memainkan peranan penting kerana cara memilih (undi) orang ramai sudah berubah.
“Misalnya calon lawan saya dalam PRU15 di Maran. Saya akui apabila calon lawan saya Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib menyarungkan baju Perikatan Nasional (PAS), dia masih mampu menang.
“Dia yang menyandang kerusi itu sejak 2004 atas tiket UMNO membuktikan orang ramai masih memilih beliau atas pengaruh individu.
“Malah dia juga membawa bersama ahli-ahli parti ke dalam parti baharu,” katanya.
Sementara itu Shahaniza ketika diminta mengulas ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO semalam, beliau menyifatkan ucapan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai yang terbaik.
Katanya, Ahmad Zahid jelas menunjukkan ketegasan dalam isu-isu berkaitan agama, bangsa, negara, institusi beraja dan pembelaan kepada bekas Perdana Menteri, Najib Tub Razak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








