POLITIK

UMNO Perak sokong Ahmad Zahid kekal Presiden

Tidak perlu letak jawatan susulan kekalahan teruk UMNO pada PRN

IPOH – UMNO Perak sebulat suara menyokong Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kekal sebagai Presiden walaupun berdepan desakan meletakkan jawatan susulan kekalahan besar UMNO pada pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, desakan itu tidak wajar kerana kekalahan dalam pilihan raya bukan hanya dihadapi oleh UMNO semata-mata tetapi turut berlaku kepada parti-parti lain sebelum ini.

“Semalam (Selasa) saya mengadakan Mesyuarat Perhubungan UMNO negeri yang sebulat suara kita mempertahankan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengekalkan jawatan sebagai presiden.

“Hujahnya, berpuluh-puluh tahun DAP tak menang pilihan raya, tak ada pun orang desak Tan Sri Lim Kit Siang letak jawatan. Berpuluh tahun Pas tak menang pilihan raya, kalah berkali-kali, tak ada pula orang menuntut Datuk Seri Abdul Hadi Awang letak jawatan.

“Semasa PRN Johor, BN menang. Masa itu tak ada pula mana-mana parti lain mendesak supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin letak jawatan dan paling penting saya semak baru-baru ini daripada bilangan kerusi dipertandingkan pada PRN itu, 18 kerusi daripada PN (Perikatan Nasional) hilang deposit, tak ada calon UMNO hilang deposit. Tapi kenapa tak ada orang menuntut supaya pengerusi PN letak jawatan,” katanya kepada pemberita selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Negeri Perak Siri 7 di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.

Saarani menyifatkan kebanyakan desakan supaya Ahmad Zahid meletakkan jawatan datang daripada bekas-bekas pemimpin UMNO yang tidak lagi menjadi ahli parti malah ada dalam kalangan mereka menyertai pembangkang.

“Kita tengok yang mendesak (Ahmad Zahid letak jawatan) ini ialah Tan Sri Annuar Musa. Dia bukan ahli UMNO, KJ (Khairy Jamaluddin) bukan ahli UMNO. Jadi orang-orang yang telah keluar dari UMNO, tumpukan pada parti baharu dialah, Tan Sri Annuar Musa tumpulah pada Pas… dia ahli Pas, jangan kacau UMNO. Saya pun berasa pelik orang yang keluar UMNO ini asyik komen pasal UMNO. Adakah itu dikatakan benci tapi rindu?

“Malah tak ada satu jaminan kalau Ahmad Zahid letak jawatan, orang Pas akan sokong UMNO, orang Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) bubar Bersatu masuk UMNO. Kita tak akan menari ikut gendang mereka dan nasihat saya, orang UMNO tak perlu menari ikut gendang orang luar UMNO,” katanya lago.

Pada PRN yang berlangsung di enam buah negeri pada 12 Ogos lalu, UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) bertanding di 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hanya menang 19 daripadanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button