Anwar dikurnia darjah kebesaran tertinggi Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menerima Darjah Kerabat Laila Utama Yang Dihormati (DK) yang dikurniakan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
Anugerah yang membawa gelaran Dato Laila Utama itu diberikan kepada kerabat diraja, ketua negara, ketua kerajaan atau pembesar asing sebagai pengiktirafan terhadap jasa bakti dan sumbangan besar kepada sultan serta negara.

Istiadat penganugerahan berlangsung di Cheradi Ratna Kenchana, Istana Nurul Iman, dengan turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Anwar merupakan antara beberapa pemimpin Malaysia yang pernah menerima darjah kebesaran berkenaan, lapor Bernama.
Tokoh lain ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak dan Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud.
Anwar tiba di Brunei petang semalam bagi lawatan kerja dua hari sempena Mesyuarat Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-27 (ALC-27) bersama Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman.
Dalam pertemuan empat mata, kedua-dua pemimpin membincangkan beberapa isu kepentingan bersama, termasuk jerebu rentas sempadan, sempadan darat dan laut, kerjasama sektor tenaga serta kemudahan laluan penduduk Brunei ke Sabah dan Sarawak.
Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berkaitan Kerjasama Pengurusan Bencana yang akan dimeterai oleh menteri berkaitan dari kedua-dua negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








