BERITA SEMASA

Masa depan ASEAN ditentukan oleh pilihan hari ini – Anwar

KUALA LUMPUR – Masa depan ASEAN tidak ditentukan oleh keadaan semasa dunia, tetapi oleh pilihan dan keberanian yang diambil oleh pemimpin rantau ini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kepimpinan dalam ASEAN bukan sekadar urusan rutin, sebaliknya tanggungjawab besar untuk memperbaharui semangat perpaduan dan menentukan haluan baharu bagi rantau ini.

“Tahun 2025 menuntut lebih daripada kita semua. Dunia kini dalam keadaan tidak menentu susunan lama tidak lagi pasti, sementara yang baharu belum terbentuk.

“Namun, dalam segala cabaran ini, ASEAN kekal utuh kerana keyakinan bahawa hormat dan rasional masih mengikat kita bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Menurut Anwar, kekuatan ASEAN bukanlah pada keseragaman, tetapi pada semangat saling menghormati dan keupayaan menyelesaikan perbezaan melalui diplomasi serta persefahaman.

Beliau turut memetik contoh apabila Kemboja dan Thailand dijangka menandatangani perjanjian damai di Kuala Lumpur, yang disifatkannya sebagai bukti keberanian memilih perdamaian sebagai jalan ke hadapan.

“Perdamaian bukan satu pengunduran, tetapi satu keberanian. Ia mampu membentuk masa depan baharu bagi sesebuah negara,” katanya lagi.

Dalam ucapannya, Anwar turut berkata, Timor-Leste secara rasmi diterima sebagai anggota penuh ASEAN, menjadikan keanggotaan ASEAN kini lengkap dengan 11 negara.

“Kehadiran Timor-Leste memberi makna baharu kepada Visi Komuniti ASEAN 2045, yang menekankan perpaduan, pertumbuhan adil serta kesejahteraan generasi akan datang,” katanya lagi.

Beliau berkata kemasukan Timor-Leste juga menunjukkan semangat kekitaan dan sokongan padu ASEAN terhadap pembangunan serta autonomi strategik negara baharu itu.

Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia berusaha menyelaraskan semula keutamaan ASEAN agar kekal relevan dan tangkas menghadapi realiti semasa, termasuk dalam menangani krisis Myanmar.

“Kita sedar usaha mencapai keamanan di Myanmar memerlukan kesabaran dan kejujuran. Berdasarkan Konsensus Lima Perkara, ASEAN terus berusaha mengurangkan keganasan dan membantu krisis kemanusiaan.

“Tetapi keamanan yang berkekalan mesti dipimpin oleh Myanmar sendiri,” katanya lagi.

Anwar turut mengumumkan pelancaran naik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang bakal mewujudkan pasaran serantau lebih lancar dan meningkatkan daya saing ekonomi ASEAN.

Selain itu, Kemudahan Pembiayaan Grid Tenaga ASEAN (APG) akan diperkenalkan bagi mempercepat peralihan tenaga bersih, seiring pelaksanaan Rangka Kerja Ekonomi Biru ASEAN dan pembangunan Ekosistem Kenderaan Elektrik Serantau.

“Langkah ini adalah asas kepada industri mampan dan pertumbuhan hijau di rantau ini,” katanya lagi.

Anwar berkata ASEAN menyasarkan untuk melipatgandakan ekonomi digital kepada AS$2 trilion menjelang 2030, dan mempercepatkan pemeteraian Perjanjian Rangka Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) menjelang 2026.

“Kita juga akan menubuhkan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN (AI SAFE) bagi memastikan penggunaan kecerdasan buatan berada dalam kawalan etika, keselamatan dan tadbir urus yang baik,” katanya lagi.

Menurut Anwar, ASEAN mesti berani meneroka perkongsian baharu dan memperkukuh hubungan sedia ada, termasuk melalui Sidang Kemuncak ASEAN-GCC, ASEAN-GCC-China serta Sidang Kemuncak Pemimpin RCEP ke-5 yang akan diadakan esok.

Kehadiran Brazil dan Afrika Selatan sebagai tetamu khas Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 juga disifatkan sebagai langkah penting untuk memperkukuh hubungan ASEAN dengan negara-negara BRICS dan G20, serta memperluas pengaruh ke arah Negara-Negara Selatan Global (Global South).

Anwar turut berkata, masa depan ASEAN bergantung pada pilihan yang dibuat oleh para pemimpin hari ini.

“Masa depan ASEAN tidak akan ditulis oleh keadaan, tetapi oleh pilihan yang kita buat hari ini,” katanya sambil mengisytiharkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dibuka secara rasmi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button