Anggota APM dipatuk ular tedung selar ketika demonstrasi
TEMERLOH – Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) selepas dipatuk seekor ular tedung selar ketika melakukan demonstrasi pengendalian reptilia itu di Dewan Taman Temerloh Jaya, di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 10.50 pagi, mangsa, Sarjan (PA) Muhamad Muazam Shah Kamardin, 39, dipatuk pada bahagian kuku jari tengah tangan kanan.
Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, kejadian berlaku ketika APM Daerah Temerloh menyertai Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat dengan mengadakan demonstrasi pengendalian ular.
Menurutnya, ketika demonstrasi berlangsung, jari mangsa dipatuk ular berkenaan sebelum anggota itu keluar dari dewan untuk mencuci tangan.
“Selepas mencuci tangan, anggota terbabit pitam di luar dewan. Mangsa kemudian dihantar ke Bahagian Kecemasan HoSHAS untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Che Adam berkata, sehingga pukul 1 tengah hari tadi, mangsa masih menerima rawatan dan berada di bawah pemantauan doktor di Zon Merah HoSHAS.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








