BERITA SEMASA

BUDI95 bukti reformasi kerajaan MADANI cegah ketirisan subsidi – Kor Ming

PUTRAJAYA – Pelaksanaan Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang diperkenalkan kerajaan bukan sahaja meringankan beban kos sara hidup rakyat, malah membuktikan keberanian kerajaan melaksanakan reformasi fiskal bagi mencegah ketirisan subsidi berbilion ringgit setiap tahun.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, subsidi bersasar itu akan memastikan hanya warganegara Malaysia menikmati manfaat berkenaan, sekali gus menutup ruang ketirisan yang sebelum ini turut dinikmati oleh warga asing yang tidak membayar cukai.

“Dengan BUDI95, subsidi kerajaan kini disalurkan secara tepat dan adil khas untuk warganegara Malaysia. Inilah bukti kerajaan MADANI yang tegas membela nasib rakyat sambil memastikan kewangan negara lebih mampan dan stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan langkah tersebut mencerminkan kesungguhan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyeimbangkan kebajikan rakyat dengan amanah serta tanggungjawab menjaga kedudukan fiskal negara.

“BUDI95 bukan sahaja mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan harga petrol RM1.99 seliter antara yang paling murah di dunia, malah menghentikan kebocoran subsidi yang merugikan negara sejak merdeka. Inilah semangat Malaysia MADANI dengan memastikan tiada yang tertinggal dan setiap sen dibelanjakan memberi manfaat sebenar kepada rakyat,” katanya lagi.

Bermula 30 September ini, rakyat Malaysia akan menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter, manakala bukan warganegara pula dikenakan harga RM2.60 seliter.

Program itu menetapkan had subsidi sebanyak 300 liter sebulan bagi setiap pengguna dengan pengecualian diberikan kepada pemandu e-hailing.

Menurut Kor Ming, proses pengesahan kelayakan turut dipermudah melalui penggunaan MyKad di pam minyak, kaunter atau aplikasi seperti Setel dan Touch ‘n Go, selaras dengan agenda pendigitalan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button