BERITA SEMASA

Kuota BUDI95 kekal 200 liter, paparan 150 liter hanya ralat teknikal – MOF

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) menafikan khabar angin mengenai perubahan had bulanan program BUDI95, selepas kerja penyelenggaraan sistem malam tadi menyebabkan paparan kuota sebahagian pengguna terkesan dan menunjukkan jumlah 150 liter.

MOF menjelaskan bahawa paparan kuota 150 liter tersebut hanyalah ralat teknikal yang berlaku semasa kerja penyelenggaraan sistem, dan bukannya perubahan rasmi.

“Kementerian Kewangan ingin menjelaskan bahawa semasa penyelenggaraan sistem BUDI95 pada jam 11 malam, 31 Mei 2026, sebahagian pengguna mungkin telah melihat paparan had bulanan menjadi 150 liter.

“Ingin dijelaskan bahawa paparan tersebut adalah disebabkan oleh ralat teknikal sistem yang telah dikenal pasti dan diperbetulkan,” ujar MOF menerusi kenyataan itu.

MOF menegaskan kuota bulanan BUDI95 kekal sebanyak 200 liter sebulan bagi semua pengguna yang layak, termasuk bagi bulan Jun 2026.

“Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa kuota bulanan BUDI95 kekal sebanyak 200 liter sebulan bagi pengguna yang layak, termasuk untuk bulan Jun 2026.

“Justeru, ingin ditegaskan tiada sebarang perubahan telah dibuat terhadap had bulanan BUDI95,” menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian itu, pihaknya akan terus memastikan pelaksanaan BUDI95 berjalan lancar, telus dan teratur bagi melindungi kepentingan rakyat serta memastikan bantuan subsidi bersasar disalurkan kepada golongan yang layak.

MOF turut memohon maaf atas kekeliruan yang timbul susulan ralat teknikal berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button