Pastikan MyKad berfungsi, lesen memandu aktif sebelum peralihan ke BUDI95 – MOF
PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan tiada pendaftaran baharu diperlukan untuk rakyat menikmati sistem subsidi bersasar petrol RON95 atau BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang akan dilaksanakan bermula 30 September ini.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), langkah itu adalah untuk memudahcarakan proses untuk rakyat memanfaatkan harga bersubsidi RON95.
“Antaranya langkah diambil pertama, tiada pendaftaran diperlukan; kedua, hanya satu langkah tambahan, iaitu pengesahan dengan MyKad untuk urusan membeli RON95 pada harga bersubsidi dan ketiga, terminal pembaca MyKad disediakan di dalam kedai stesen minyak dan juga di terminal pam minyak bagi mengurangkan risiko kesesakan.
“Di samping itu, terdapat opsyen digital e-dompet TNG dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel oleh Petronas dan CaltexGo,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, pelaksanaan program BUDI95 akan dijalankan secara berperingkat untuk memastikan kelancaran sistem tanpa lonjakan penggunaan yang mendadak.
Justeru katanya, pada 27 September ini, sistem BUDI95 dibuka awal kepada 300, 000 anggota tentera dan polis manakala pada keesokannya, sistem BUDI95 dibuka awal kepada penerima STR yang merupakan golongan B40.
“Pada 30 September pula sistem BUDI95 dibuka kepada 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif.
“Kerajaan MADANI menasihati rakyat agar memastikan cip MyKad berfungsi dan lesen memandu masih sah sebelum peralihan kepada BUDI95.
“Walau bagaimanapun, rakyat tidak perlu tergesa-gesa memperbaharui MyKad sekiranya mereka berjaya menebus bantuan SARA atau Penghargaan SARA, kerana itu membuktikan cip MyKad berfungsi.
“Kementerian Kewangan (MOF) akan mengeluarkan maklumat lanjut berhubung BUDI95 dari semasa ke semasa. Orang ramai disaran untuk merujuk saluran rasmi MOF bagi mendapatkan maklumat yang terkini dan sahih,” katanya.
Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rakyat Malaysia dapat membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter mulai 30 September ini berbanding harga pam petrol RON95 semasa iaitu RM2.05 seliter.
Anwar berkata, bagi golongan yang tidak layak, seperti bukan warganegara, mereka akan membeli RON95 pada harga yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada tahap tanpa subsidi, dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







