BERITA SEMASA

Subsidi bersasar RON95 dilaksana hujung bulan ini: Periksa, ganti MyKad yang rosak – Saifuddin

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan segera memeriksa dan menggantikan cip kad pengenalan (MyKad) yang rosak bagi membolehkan mereka menikmati subsidi bersasar RON95 yang dijadual dilaksanakan kerajaan hujung bulan ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata,
pelaksanaan subsidi itu memerlukan pengesahan identiti menggunakan MyKad ketika proses mengisi minyak di stesen.

“Harga petrol RON95 akan turun ke RM1.99 seliter melalui subsidi bersasar ini. Satu perkara penting rakyat Malaysia kena buat ialah periksa MyKad anda dan pastikan cip berfungsi dan elok.

“Kalau cip rosak atau tidak boleh dibaca, jangan risau, boleh terus ke mana-mana pejabat atau kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seluruh negara. Insya-Allah, siap hari yang sama. Jangan tunggu saat akhir, buat semakan awal supaya rakan-rakan dapat manfaatkan subsidi petrol khas untuk rakyat Malaysia ini,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, inisiatif itu jelas membuktikan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menunaikan janji yang pernah disuarakan kepada rakyat.

“Walaupun ambil masa sedikit, Alhamdulillah beliau tetap tunaikan janji sebab insya-Allah, beliau seorang yang berpegang pada kata-kata. A man of his words. Setiap janji yang dibuat akan dilaksanakan untuk rakyat Malaysia.

“Kerajaan MADANI terus komited untuk bantu rakyat, jaga kebajikan semua golongan dan makmurkan ekonomi negara dengan penuh integriti dan tanggungjawab,” katanya.

Sebelum ini, Anwar mengulangi jaminan bahawa harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter menjelang akhir bulan ini, sekali gus menunaikan janji Kerajaan MADANI untuk meringankan beban rakyat.

Beliau berkata, langkah itu selari dengan komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat menikmati harga bahan api yang lebih rendah, berbanding harga sebenar di pasaran

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button