MyKad baharu mula diperkenal bulan ini
KUALA LUMPUR – Malaysia bakal memasuki fasa baharu sistem pengenalan diri nasional apabila MyKad Struktur Baharu mula diperkenalkan secara berperingkat bulan ini dengan pelbagai ciri keselamatan dipertingkat bagi melindungi identiti dan data peribadi pemegang.
Pelaksanaan itu merupakan penambahbaikan terbesar terhadap MyKad sejak ia diperkenalkan pada 2001, sejajar usaha kerajaan memperkukuh sistem pengenalan diri negara dan mengekang ancaman pemalsuan dokumen serta jenayah siber.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Badrul Hisham Alias berkata, MyKad Struktur Baharu dilengkapi 53 elemen keselamatan berbanding hanya 23 elemen pada kad sedia ada.
“Antara ciri baharu diperkenalkan termasuk kod QR untuk tujuan pengesahan dan penguatkuasaan, hologram, mikroteks, ciri keselamatan ultraungu (UV), ukiran laser serta cip dengan tahap penyulitan yang lebih tinggi,” memetik NST online.
Menurut beliau, penambahbaikan itu dijangka meningkatkan keupayaan pengesahan identiti selain mengurangkan risiko pemalsuan dan penyalahgunaan dokumen pengenalan diri.
Sebelum itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan MyKad generasi baharu itu dibangunkan bagi memperkukuh sistem identiti nasional menerusi penggunaan teknologi dan ciri keselamatan yang lebih canggih.
JPN memaklumkan pengeluaran MyKad Struktur Baharu akan dimulakan di ibu pejabat jabatan itu di Putrajaya serta 18 pejabat terpilih melalui sistem janji temu sebelum diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat.
Pendekatan tersebut bertujuan memastikan proses pelaksanaan berjalan lancar dan mengelakkan kesesakan di kaunter perkhidmatan.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak tergesa-gesa menukar MyKad kerana kad pengenalan sedia ada masih sah digunakan untuk semua urusan rasmi termasuk tuntutan subsidi dan bantuan kerajaan.
Keutamaan akan diberikan kepada pemegang Kad Pengenalan Plastik (KPP), Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) dan MyKad Versi 1 yang diwajibkan menukar kad masing-masing kepada MyKad Struktur Baharu secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun.
MyKad Struktur Baharu dijangka dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tarikh yang akan diumumkan kelak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















