Malaysia disasar berada dalam kelompok 30 negara paling rendah rasuah – Kor Ming
KUALA LUMPUR – Kerajaan MADANI menetapkan sasaran untuk membawa Malaysia berada dalam kelompok 30 negara paling rendah rasuah dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata usaha itu sedang digerakkan melalui tindakan tegas membanteras gejala rasuah termasuk pemecatan 20 pegawai Imigresen yang terbabit dalam skandal ‘kaunter set’, selain 227 individu lain yang kini dalam siasatan pihak berkuasa.
“Langkah berani ini membuktikan kerajaan MADANI benar-benar serius memupuk budaya integriti dan memastikan perkhidmatan awam bebas daripada amalan tidak bermoral.
“Dengan menyingkirkan pegawai yang terlibat rasuah serta mengetatkan kawalan perolehan kerajaan, keyakinan pelabur dalam dan luar negara dapat diperkukuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kor Ming menjelaskan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan lebih RM5 bilion aset haram berjaya dirampas hanya dalam tempoh setahun sejak langkah agresif antirasuah digerakkan.
“Ini bukan sahaja mengembalikan wang rakyat, malah menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia sebuah negara yang tegas dan tidak berkompromi dalam soal integriti,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, kelulusan Akta Perolehan Kerajaan serta Akta Komitmen Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan dalam sidang Parlimen baru-baru ini merupakan reformasi besar yang akan menamatkan budaya pembaziran serta mengurangkan birokrasi sehingga 25 peratus.
“Budaya lama di mana komisen kepada orang tengah menjadikan nilai RM30,000 akhirnya tinggal RM3,000 mesti dihentikan. Rakyat berhak mendapat perkhidmatan awam yang cekap dan telus,” jelasnya lagi.
Menurutnya, dengan pembaharuan dan ketegasan yang ditunjukkan, kerajaan MADANI yakin Malaysia mampu memperbaiki kedudukan CPI dan mencapai matlamat menjadi antara 30 negara paling rendah rasuah di dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








