Pindaan Akta FINAS buka fasa baharu industri kreatif negara
KUALA LUMPUR – Landskap industri perfileman dan kandungan kreatif negara dijangka memasuki fasa baharu susulan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) (Pindaan) 2025 oleh Dewan Negara, kelmarin.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pindaan bersejarah itu membuka laluan kepada sistem kawal selia yang lebih menyeluruh dan relevan, sejajar dengan perkembangan teknologi serta peluasan platform digital masa kini.
Menurutnya, majoriti Ahli Dewan Negara menyatakan sokongan terhadap pindaan berkenaan yang disifatkan penting bagi memastikan kelangsungan serta kemampanan industri kreatif negara.
“Kelmarin sesi pembentangan di Dewan Negara menyaksikan tujuh hingga lapan senator mengemukakan pandangan dan soalan.
“Secara keseluruhan mereka bersetuju dengan pindaan ini dan RUU berkenaan diluluskan sebulat suara.
“Dari sudut proses perundangan, kita sudah memperoleh kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-24 Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) di Kompleks FINAS, Hulu Kelang, semalam.
Azmir berkata, FINAS kini menunggu proses pewartaan sebelum akta berkenaan dapat dikuatkuasakan sepenuhnya.
“Ketika ini kita menunggu proses pewartaan dan dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga bulan, tertakluk kepada perkenan serta tandatangan Yang di-Pertuan Agong,” katanya lagi.
Beliau menjelaskan, pindaan kali ketiga terhadap Akta FINAS itu membawa perubahan besar, khususnya berkaitan definisi filem yang perlu disesuaikan dengan landskap teknologi global yang semakin berkembang.
“Pindaan kali ini sangat signifikan kerana ia menyentuh asas definisi filem itu sendiri. Jika pindaan terdahulu lebih kepada kuasa penguatkuasaan, pindaan kali ini mengambil kira perubahan keseluruhan ekosistem industri,” katanya lagi.
Menurut Azmir, pindaan itu turut memastikan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), serta platform Over-The-Top (OTT) dan penstriman digital, dapat ditadbir secara holistik di bawah seliaan FINAS.
“Kawal selia ini bukan bertujuan menyekat kreativiti atau kandungan, sebaliknya untuk memastikan industri berkembang secara tersusun dan mampan,” katanya lagi.
Beliau berkata, pindaan berkenaan memberi penekanan kepada perlindungan kebajikan penggiat seni, termasuk kru produksi dan penerbit, selain memperkukuh ekosistem industri dari sudut ekonomi, eksport serta kerjasama strategik.
Dalam perkembangan sama, Azmir berkata, peranan FINAS sebagai penyedia latihan kepada penggiat industri turut diperkasakan melalui pindaan akta itu.
“Kita memerlukan program latihan berstruktur, kerjasama dengan institusi pengajian tinggi serta sokongan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi melahirkan bakat berkualiti dan berdaya saing,” katanya lagi.
Pindaan itu juga menyentuh aspek tadbir urus, termasuk isu teguran audit serta proses pelantikan Ahli Lembaga Pengarah FINAS yang kini diperincikan melalui deklarasi dan prosedur tertentu.
Sementara itu, Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA) menyambut baik kelulusan pindaan berkenaan dan merakamkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta FINAS.
Setiausaha Agung GAFEMA, Zahrin Ishak menyifatkan pindaan itu sebagai titik peralihan penting dalam mewujudkan ekosistem perfileman yang lebih moden, telus dan kompetitif.
“Pindaan ini bukan sekadar perubahan perundangan, tetapi satu pengiktirafan terhadap keperluan penggiat seni dalam mendepani arus digital dan ekonomi kreatif yang semakin mencabar,” katanya lagi.
Untuk rekod, Dewan Rakyat meluluskan RUU FINAS (Pindaan) 2025 pada 3 Disember lalu selepas dibentangkan oleh Fahmi, bagi menyelaraskan Akta FINAS 1981 dengan keperluan industri semasa serta perkembangan teknologi terkini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








