BERITA SEMASA

Kerugian akibat jenayah dalam talian catat RM1.224 bilion setakat Oktober tahun ini – PM

KUALA LUMPUR – Angka kerugian akibat jenayah dalam talian di Malaysia mencatat RM1.224 bilion bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah kerugian itu melibatkan pelbagai bentuk jenayah dalam talian termasuk jenayah telekomunikasi, love scam, dan e-Dagang.

“Isu ini memang serius kerana jika dilihat dari perspektif ASEAN, jumlah kerugian akibat jenayah dalam talian mencapai AS$64 bilion, manakala di Malaysia, kerugian akibat jenayah dalam talian adalah RM1.224 bilion dari Januari hingga Oktober 2024,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat, yang ingin mengetahui punca kenaikan kes jenayah ini dan langkah pencegahan terhadap jenayah pinjaman wang tidak berlesen serta penipuan kewangan dalam talian.

Anwar memberitahu, situasi jenayah dalam talian semakin membimbangkan berdasarkan pertambahan rekod nombor telefon dan akaun bank yang terlibat dalam kegiatan penipuan itu.

“Kenyataan ini membimbangkan kerana sehingga 31 Oktober 2024, sebanyak 181,628 nombor telefon, 222,092 akaun bank, dan 1,395 nama syarikat telah direkodkan dalam Semak Mule, yang melibatkan jenayah penipuan dalam talian,” katanya.

Anwar turut memaklumkan bahawa portal Semak Mule banyak membantu dalam usaha menangani penipuan, dengan lebih 32.66 juta carian dilakukan, dan 22.29 juta di antaranya menunjukkan usaha pemindahan wang ke akaun Mule, namun banyak wang yang berjaya diselamatkan melalui aplikasi tersebut.

Dan bagi menangani jenayah dalam talian, Anwar berkata, kerajaan akan mencadangkan pemindaan undang-undang yang berkaitan dengan transaksi kewangan.

“Selain itu, kita mencadangkan untuk meminda undang-undang termasuk Seksyen 116D yang telah diluluskan oleh Ahli Parlimen sebelum ini bagi merampas dan menyekat transaksi kewangan yang tidak sah,” katanya.

Beliau turut berkata, pindaan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia akan dilakukan, termasuk Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian serta tindakan oleh Pusat Respon Penipuan Kebangsaan (NSRC).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button