Penjualan vape akan diharamkan sepenuhnya – Dr Dzulkefly
Dilaksana secara berperingkat
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengharamkan sepenuhnya penjualan rokok elektronik atau vape.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, langkah berkenaan adalah bagi membendung penyalahgunaan produk berkenaan dan akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan pengharaman sistem terbuka sebelum diperluas kepada semua jenis vape sehingga meliputi keseluruhan produk.
Beliau tidak memperincikan had masa ditetapkan bagi pelaksanaan pengharaman tersebut sambil menambah, sebagai langkah awal, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mengadakan perbincangan terperinci bersama kementerian dan jabatan utama.
“Ini membabitkan Kementerian Kewangan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kementerian Dalam Negeri melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia serta Pejabat Penasihat Undang-undang.
“Hasil penelitian dan cadangan pelaksanaan pengharaman akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi mendapatkan persetujuan dasar, seterusnya menjadi asas kepada pelaksanaan pengharaman penuh rokok elektronik atau vape di negara ini,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Baharuddin Ahmad mengenai kesediaan kerajaan mengharamkan penjualan vape seperti dilaksanakan beberapa kerajaan negeri supaya kesihatan rakyat awam dapat terus dilindungi daripada penyakit memudaratkan.
Sementara itu, Dzulkefly berkata, KKM menyokong langkah enam kerajaan negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang yang tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen penjualan vape melalui bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.
“Ini adalah pendekatan proaktif seiring matlamat kesihatan awam negara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








