Kos ubat, peranti di Malaysia naik 40 peratus susulan konflik Asia Barat
PUTRAJAYA – Pergolakan di Asia Barat mula memberi kesan kepada sektor kesihatan negara apabila kos ubat-ubatan di Malaysia dilaporkan meningkat antara 30 hingga 40 peratus, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kelestarian bekalan perkhidmatan kesihatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kenaikan tersebut berpunca daripada gangguan rantaian bekalan global yang menyebabkan peningkatan kos logistik, pengangkutan serta harga minyak, sekali gus memberi impak langsung kepada industri farmaseutikal.
Menurut beliau, kos peranti perubatan di hospital turut mencatatkan peningkatan lebih ketara, malah ada yang melonjak sehingga 50 hingga 100 peratus apabila pembekal bertindak menangguhkan penghantaran bekalan sejak Mac lalu.
“Mereka meletakkan penghantaran bekalan dalam keadaan ‘on hold’, menyebabkan sesetengah harga peranti melambung.
“Kementerian Kesihatan (KKM) akan melakukan yang terbaik untuk menyerap kenaikan kos ini supaya khidmat rawatan yang mampan dapat terus dinikmati rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Sambutan Hari Pendengaran Sedunia, di sini hari ini.
Tambah Dzulkefly, kerajaan sedang mempertimbangkan mekanisme ‘surcharge’ dan ‘cost pass-through’ dengan kerjasama Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri bagi menangani impak kenaikan kos tersebut.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pelan mitigasi jangka pendek, sederhana dan panjang sedang dirangka bagi memastikan industri farmaseutikal negara terus berdaya tahan susulan konflik di rantau berkenaan.
“Setakat ini sektor kesihatan negara belum menanggung kesan secara signifikan daripada pergolakan di Asia Barat.
“Namun pemantauan akan terus diperkukuh kerana kita perlu bersedia dengan pelbagai kemungkinan,” katanya memetik laporan Astro Awani.
Dzulkefly turut memberi jaminan bahawa bekalan ubat-ubatan negara masih mencukupi sehingga Jun dan keadaan semasa berada dalam kawalan tanpa perlu mencetuskan situasi panik dalam kalangan masyarakat.
“Negara mempunyai stok simpanan ubat-ubatan sebagai persediaan, selain perkongsian data dengan pemain industri bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi.
“Insya-Allah tidak akan berlaku ketandusan, khususnya bagi essential drugs seperti insulin dan vaksin,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyimpan ubat-ubatan secara berlebihan kerana tindakan tersebut boleh menjejaskan kestabilan bekalan dan merupakan tanggungjawab bersama sebagai rakyat Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








