Tempoh tiga bulan untuk tambah baik paparan harga ubat
PUTRAJAYA – Kerajaan menetapkan tempoh selama tiga bulan sebagai fasa pelaksanaan berhemah bagi memastikan semua premis kesihatan mematuhi perintah baharu berkaitan paparan harga ubat.
Langkah ini susulan penguatkuasaan perintah kawalan harga dan antipencatutan yang dikuatkuasakan secara rasmi mulai 1 Mei 2025 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan sokongan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, tempoh tersebut bertujuan memberi ruang kepada hospital dan klinik swasta untuk menyesuaikan diri dengan keperluan undang-undang dan mendapatkan panduan sewajarnya.
“Dalam tempoh tiga bulan ini, kami mohon kerjasama semua pihak untuk sama-sama melaksanakan apa yang telah diputuskan melalui perintah kawalan harga dan antipencatutan berkaitan penandaan harga ubat,” katanya pada sidang media di KKM hari ini.

Menurut beliau, pegawai penguat kuasa KPDN akan turut serta dalam pasukan KKM untuk melakukan pemeriksaan, memberi panduan serta membantu pihak terlibat memahami keperluan di bawah perundangan baharu ini.
Beliau turut menegaskan bahawa proses penurunan kuasa telah pun dilaksanakan secara rasmi, di mana Menteri KPDN telah menyerahkan kuasa kepada pegawai bahagian farmasi KKM bagi melaksanakan peraturan berkaitan.
“Jadi, isu punca kuasa tidak lagi timbul kerana pegawai KKM kini mempunyai kuasa yang sah untuk melaksanakan penguatkuasaan ini,” tegasnya.
Tambah beliau, pihak kementerian terbuka menerima sebarang pertanyaan dan maklum balas daripada pengamal industri sepanjang tempoh pelaksanaan ini dan akan mengemaskini dokumen Soalan Lazim (FAQ) dari semasa ke semasa.
“Kerajaan sangat prihatin dalam pelaksanaan dasar baharu dan mahu memastikan perintah ini mencapai objektifnya dengan sokongan semua pihak,” katanya.
Inisiatif ini dilihat sebagai usaha penting ke arah meningkatkan ketelusan harga dalam sektor kesihatan, seterusnya melindungi pengguna daripada sebarang unsur pencatutan harga ubat di pasaran.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan, Dr. Azuana Ramli.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








