BERITA SEMASA

KPDN senarai 9 barangan dibawah SHMMP Deepavali

KOTA KINABALU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyenaraikan sembilan jenis barangan di bawah pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 yang berkuat kuasa 16 hingga 22 Oktober ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, SHMMP selama tujuh hari itu merangkumi empat hari sebelum Deepavali, satu hari semasa perayaan dan dua hari selepasnya, dan kawalan harga tersebut dikenakan di peringkat borong dan runcit.

Antara barangan yang disenaraikan ialah daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, bawang merah kecil India, bawang merah kecil India jenis ‘Ros’, bawang merah besar import, kacang dal Australia, kelapa biji (harga maksimum di peringkat borong sahaja), dan kelapa parut (harga maksimum di peringkat runcit sahaja).

“Kita tambah satu lagi jenis barangan tahun ini, iaitu bawang ‘ros’ atau bawang merah kecil India jenis ‘ros’. Tahun lepas hanya lapan, tapi tahun ini sembilan barangan disenaraikan di bawah skim harga maksimum Deepavali,” katanya dalam sidang media SHMMP Deepavali 2025, di sini hari ini.

Jelas beliau, penetapan harga maksimum dibuat berdasarkan penelitian teliti terhadap faktor semasa termasuk kos pengeluaran, pengangkutan, kadar upah, keadaan cuaca, serta penawaran dan permintaan di pasaran.

Penilaian turut mengambil kira maklum balas daripada industri, peniaga dan agensi kerajaan lain seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan pelaksanaan yang adil kepada semua pihak.

Armizan turut berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP Deepavali, seramai 2,300 pegawai penguat kuasa dan 1,000 pegawai pemantau harga KPDN di seluruh negara akan digerakkan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi harga maksimum atau tidak mempamerkan tanda harga dengan jelas, termasuk denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun bagi individu, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000,” katanya lagi.

Beliau turut menasihati pengguna agar menyalurkan aduan sekiranya mendapati sebarang pelanggaran harga maksimum yang ditetapkan melalui saluran rasmi seperti portal e-Aduan KPDN, WhatsApp Aduan 019-2794317 atau talian hotline 1-800-886-800.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button