BERITA SEMASA

PRN Sabah: Keputusan awal dijangka 10 malam esok

TUARAN – Keputusan awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang berlangsung esok dijangka diketahui selewat-lewatnya pukul 10 malam.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun berkata, keputusan penuh pilihan raya itu pula dapat diketahui kira-kira pukul 12 tengah malam, lapor HM Online.

“Kita tak dapat menjangkakan satu tempoh yang sesuai dalam keadaan cuaca begini.

“Tapi kita cuba selesaikan pada tengah malam, sekitar jam 12 tengah malam kita boleh dapat keputusan (penuh),” katanya pada sidang media semasa sesi lawatan semakan peti undi di Dewan Seri Sulaman, di sini hari ini.

Proses pengundian esok akan bermula pada pukul 7.30 pagi dan ditutup pukul 5 petang.

Bagaimanapun Ramlan berkata, terdapat beberapa kawasan terutamanya di kawasan pulau, pusat mengundi akan ditutup lebih awal iaitu pada pukul 12 tengah hari.

Beliau turut memaklumkan terdapat 85 kawasan yang menggunakan helikopter bagi mengambil dokumen dari pusat mengundi, selain penggunaan pikap dan bot esok.

“Saya menyeru kepada lebih daripada 1.7 juta pengundi berdaftar di Sabah ini untuk keluar mengundi, melaksanakan tanggungjawab dan seterusnya memilih wakil di Dewan Undangan Negeri masing-masing,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button