BERITA SEMASA

Daftar Pemilih Tambahan Mei 2023 dibuka untuk semakan – SPR

PUTRAJAYA – Daftar Pemilih Tambahan Mei 2023 (DPT BLN5/2023) yang diperaku dan diwartakan hari ini, dibuka untuk semakan selama 30 hari bermula hari ini hingga 14 September 2023, demikian menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini berkata, DPT BLN5/2023 itu mengandungi 41,289 nama warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Mei hingga 31 Mei 2023.

Senarai itu melibatkan mereka yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu, 12,183 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 3,005 pemilih yang bertukar status/kategori pengundi.

“Warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Mei 2023 hingga 31 Mei 2023 dan mana- mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN5/2023,” katanya.

Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN5/2023, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Bagi mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya, perlu mengisi Borang D melalui kaedah yang sama.

Ikmalrudin berkata, lima kaedah semakan disediakan bagi DPT BLN5/2023 iaitu portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my; aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak dan hotline semakan pendaftaran pemilih di talian 03-88927218.

Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan perlu dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN5/2023.

Sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN5/2023 ini, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR atau hubungi SPR di talian 03-88927218 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button