BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Sistem alamat tepat penentu kelancaran pilihan raya – SPR

KUALA LUMPUR – Ketepatan sistem alamat nasional turut menyumbang dalam menentukan kelancaran proses pilihan raya negara, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr. Azmi Sharom.

Menurut beliau, SPR amat bergantung kepada data alamat yang dikemaskini daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memastikan pendaftaran pengundi secara automatik dilakukan dengan betul.

“Tanpa alamat yang tepat, SPR tidak dapat menentukan lokaliti, daerah mengundi atau pusat pengundian seseorang pemilih dengan tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Persidangan Alamat Nasional 2025 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang masuk hari kedua di sini hari ini.

Persidangan dua hari itu bertujuan memperkasa pembangunan sistem alamat negara menerusi pendekatan teknikal dan strategik merentasi agensi kerajaan serta sektor swasta, seiring usaha menuju digitalisasi dan perkhidmatan awam yang lebih efisien.

Beliau turut mendedahkan bahawa sejak pelaksanaan pendaftaran automatik dan penurunan umur layak mengundi kepada 18 tahun pada tahun 2020, jumlah pengundi berdaftar meningkat secara mendadak daripada 15 juta kepada 21 juta orang.

Situasi itu mewujudkan cabaran besar dari sudut logistik, memaksa SPR untuk menambah saluran dan pusat mengundi bagi mengelakkan kesesakan.

Namun, katanya, ketiadaan sistem alamat kebangsaan yang standard kekal menjadi cabaran utama.

“Contohnya, sebuah kampung yang berubah menjadi taman perumahan akan menghasilkan dua jenis alamat untuk lokasi yang sama. Malah ada rumah yang berjiran tapi mempunyai poskod berbeza. Ini menyukarkan penentuan kawasan undi,” jelasnya.

Katanya, SPR kini mengurus sekitar 40,000 pendaftaran baharu sebulan dan perlu memastikan setiap pengundi diletakkan dalam lokaliti dan daerah yang betul.

Dalam kes alamat baharu tiada dalam pangkalan data SPR, pegawai akan turun padang untuk menyemak secara manual.

Dr. Azmi turut menyatakan bahawa kegagalan pengundi mengemaskini alamat tempat tinggal menyumbang kepada kekeliruan dan salah faham.

“Ada flat di Kuala Lumpur yang sudah dirobohkan, tapi masih ramai pengundi beralamat di situ dalam daftar pemilih. Bila ini berlaku, timbul pula tuduhan ‘undi hantu’,” katanya sambil menyeru rakyat agar menukar alamat dalam sistem pilihan raya apabila berpindah.

Beliau turut memaklumkan SPR telah membangunkan sebuah ‘master index’ alamat tersendiri sebagai rujukan rasmi dalam penentuan lokaliti.

Dr. Azmi turut menekankan perlunya kerjasama antara agensi kerajaan bagi mewujudkan pangkalan data alamat nasional tunggal dan seragam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button