SPR nafikan dakwaan pengawasan luar biasa sepanjang kempen PRN Sabah
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menegaskan tiada sebarang tindakan pengawasan luar biasa atau tumpuan khusus diberikan kepada mana-mana parti politik sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) yang ditubuhkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berperanan memastikan semua calon mematuhi undang-undang sepanjang tempoh berkempen sehingga hari pengundian.
Beliau berkata, pasukan penguat kuasa itu menjalankan pemantauan berkala terhadap aktiviti kempen calon dan mengeluarkan nasihat kepatuhan bagi memastikan perjalanan kempen berlangsung dalam ruang lingkup undang-undang.
“Pasukan penguat kuasa ini tidak memberi tumpuan khusus ataupun menyasarkan mana-mana parti mahupun pihak-pihak tertentu. Tuduhan tersebut sebaliknya adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
SPR turut menyarankan mana-mana pihak yang mempunyai keraguan atau maklumat mengenai salah laku supaya mengemukakan aduan secara rasmi kepada SPR atau pihak berkuasa berkaitan bagi tindakan lanjut.
Dalam masa sama, SPR mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam proses pilihan raya agar terus mematuhi undang-undang berkuat kuasa demi memastikan keamanan serta integriti pilihan raya terus terpelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








