BERITA SEMASAPMXPOLITIK

Pengunduran pemimpin kanan PKR: Masa untuk ‘move on’, bangunkan negara – penganalisis politik

DALAM hiruk-pikuk politik, pengunduran beberapa tokoh utama seperti Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad daripada barisan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini, tidak seharusnya dilihat sebagai krisis kehilangan arah.

Sebaliknya, ia membuka lembaran baharu untuk pembaharuan politik negara iaitu satu peralihan daripada politik berasaskan individu kepada politik yang bertunjangkan prinsip dan sistem.

Mengulas perkembangan itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr. Mohd Azmir Mohd Nizah menyifatkan masa depan politik Malaysia perlu menuju ke arah politik pasca-personaliti.

rafizi & nik nazmi
Rafizi dan Nik Nazmi antara tokoh reformasi yang memperjuangkan PKR namun mengambil keputusan mengundur diri.

“Politik pasca-personaliti merujuk kepada landskap politik yang tidak lagi bertumpu kepada individu tertentu, sebaliknya berasaskan prinsip, dasar dan institusi yang kukuh,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Bagaimanapun, beliau mengakui, Malaysia belum sepenuhnya bersedia kerana budaya politik negara ini masih menunjukkan kebergantungan kepada karismatik tokoh, veteran dan berpusatkan kuasa.

Walaupun begitu katanya, muncul petanda positif dalam kalangan pengundi muda yang kini lebih menilai dasar berbanding pesona individu.

“Dalam membina semula negara, rakyat bukan lagi pemain pasif. Mereka mempunyai peranan penting untuk menyumbang kepada pembentukan negara yang lebih matang dan lestari.

“Rakyat boleh memainkan peranan melalui penglibatan aktif dalam masyarakat sivil, menyuarakan pandangan secara konstruktif, serta memantau dan menilai prestasi kerajaan dan wakil rakyat,” jelas Dr. Mohd Azmir yang juga Timbalan Pengarah II Pusat Kemajuan Profesional & Pendidikan Berterusan (PACE) USIM.

Dr. Mohd Azmir menyifatkan perjuangan dalam parti politik tidak boleh bersandarkan kepada individu semata-mata.

Beliau turut menekankan keperluan kepada pendidikan sivik yang berkesan dan budaya politik berteraskan nilai bagi membina daya tahan rakyat tanpa terlalu bergantung kepada satu-satu tokoh.

Menurutnya, peralihan kepimpinan wajar dilihat dalam kerangka demokrasi yang matang.

“Dalam demokrasi matang, perubahan adalah lumrah dan ia perkembangan yang sihat selagi prosesnya telus dan berinstitusi.

“Perubahan ini penting untuk menyuntik idea baharu dan tenaga segar dalam menghadapi cabaran negara yang semakin kompleks,” tegasnya.

Menyentuh isu berkaitan rombakan kabinet yang kerap menjadi bahan spekulasi, beliau berpendapat ia tidak semestinya membawa konotasi negatif.

“Sebaliknya ia boleh menjadi satu bentuk penyegaran dan pembaharuan pentadbiran jika dilakukan dengan berstrategi dan bukan semata-mata untuk menyeimbangkan kuasa dalaman,” ujarnya.

Apa yang lebih penting, tambah beliau, ialah keupayaan kabinet baharu menyampaikan dasar secara berkesan, menstabilkan politik dan mengembalikan keyakinan rakyat.

Ditanya soal legasi reformasi, Dr. Mohd Azmir berpandangan bahawa perjuangan itu tidak boleh bersandarkan kepada individu semata-mata.

“Untuk memastikan legasi reformasi tidak terhenti dengan pengunduran individu seperti Rafizi, kita perlu menginstitusikan reformasi.

anwar ibrahim
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan tertinggi PKR ketika Kongres Nasional PKR baru-baru ini.

“Contohnya melalui pembaharuan institusi, undang-undang yang progresif dan pemupukan budaya politik baharu,” tegas beliau.

Namun begitu, beliau mengakui bahawa gelombang reformasi kini semakin malap, kerana ia mulai terarah kepada persaingan dalaman parti.

Ketika pemilihan dalaman parti sering digambarkan sebagai krisis, beliau menyeru agar proses demokrasi difahami secara rasional.

“Pemahaman rakyat terhadap proses dalaman parti boleh mengelakkan tanggapan bahawa ia adalah perpecahan atau krisis,” katanya.

Baginya, pemilihan parti adalah elemen asas demokrasi yang sihat, asalkan ia diurus secara telus dan profesional.

Sebagai penutup, Dr. Mohd Azmir menegaskan pentingnya kesinambungan idea politik dan bukan kebergantungan kepada individu.

“Tokoh boleh datang dan pergi, juga boleh menjadi kawan atau lawan. Tetapi nilai dan perjuangan perlu diteruskan oleh generasi pelapis masa depan,” ujarnya.

Menurut beliau, ia memerlukan budaya parti yang menyokong pemimpin berasaskan merit dan idealisme serta pelaburan berterusan dalam pembangunan kapasiti golongan muda.

“Kesimpulannya, naratif membina semula negara bukan hanya tanggungjawab tokoh tertentu, tetapi amanah bersama.

“Dalam era yang mendambakan kestabilan dan kemajuan, inilah masa yang tepat untuk kita semua ‘move on’ dari politik berasaskan personaliti ke arah politik yang berteraskan prinsip dan sistem,” tegasnya penuh makna.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button