PRN Sabah: WARISAN hadapi bersendirian, tidak gabung dengan mana-mana parti lain
CYBERJAYA – Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan partinya tidak akan bergabung dengan mana-mana parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.
Kenyataan itu sekaligus menolak desas desus sebelum ini yang mengatakan parti tersebut mungkin bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya tersebut.
Beliau berkata, WARISAN akan meletakkan calon di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ketetapan itu sudah dibuat dua kali dalam mesyuarat majlis tertinggi parti.
“Kita telah menyatakan pendirian WARISAN ialah kita bergabung dengan rakyat dan akan meletak (calon) di 73 kerusi seluruh Sabah.
“Kenapa pula ada bunyi-bunyi gabungan dengan mana-mana pihak? Kita sudah umumkan dua kali dalam mesyuarat majlis tertinggi,” katanya pada satu majlis di Pitas, Sabah, lapor FMT, hari ini.
Difahamkan, Shafie berkata demikian susulan laporan media yang memetik kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai berkata, partinya tidak menolak kerjasama dengan semua parti termasuk WARISAN kecuali Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN Sabah nanti.
Dalam pada itu, Shafie turut berkata, partinya fokus dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah, khususnya dalam menyediakan keperluan asas yang mendesak ketika ini.
“Saya ulang, kita tidak ada gabungan dengan mana-mana parti. Kita bergabung dengan rakyat dalam pembelaan rakyat pada kali ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







