Perhimpunan Agung UMNO 2025 ditunda ke November
KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menunda tarikh Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 ke 26 hingga 29 November ini bagi memberi ruang kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat MKT yang berlangsung di Pusat Dagangan Putra (WTC), semalam.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
“Mesyuarat MT UMNO sebelum ini menetapkan tarikh PAU 2025 pada 20 hingga 23 Ogos ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut beliau, UMNO juga akan melaksanakan kajian separuh penggal bagi menilai keberkesanan dan prestasi Kerajaan Perpaduan Malaysia, termasuk pencapaian pemimpin parti itu dalam kerajaan serta agensi berkaitan.
Dalam pada itu katanya, UMNO berpendirian bahawa tiada keperluan bagi mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan mengambil ahli dari parti rakan gabungan bagi mengelakkan berlakunya salah faham dan ketidakharmonian dalam pentadbiran.
Selain itu Asyraf berkata, MKT bersetuju untuk mempertimbangkan sebarang rayuan daripada ahli parti yang dikenakan tindakan disiplin, selaras dengan Fasal 20.12 Perlembagaan UMNO.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








