PRN Sabah: PN bakal tanding sehingga 40 kerusi, umum calon 11 November
KOTA KINABALU – Perikatan Nasional (PN) dijangka meletakkan sehingga 40 calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 pada 29 November ini, meningkat berbanding 36 kerusi yang diumumkan sebelum ini.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pengumuman rasmi termasuk senarai calon semua parti komponen akan dibuat pada 11 November, seiring pelancaran jentera PN seluruh negeri.
“Rundingan antara tiga parti komponen iaitu PAS, BERSATU dan Gerakan kini pada fasa akhir pemuktamadan pembahagian kerusi.
“Kita masih dalam proses memuktamadkan kerusi sebelum pengisytiharan calon pada 11 November.
“Semua nama calon sedang diteliti dan melalui proses tapisan termasuk di peringkat Majlis Syura Ulama PAS,” katanya pada sidang media selepas melancarkan jentera PN bagi DUN Karambunai di Sepanggar, hari ini.
Turut hadir Pengarah Pilihan Raya PAS Sabah, Tan Sri Annuar Musa dan Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, yang disebut-sebut menjadi calon PN di kerusi tersebut.
Tuan Ibrahim turut berkata, PN memberi tumpuan penuh kepada kekuatan dalaman gabungan sebelum mempertimbang sebarang pakatan pasca PRN.
“Apa yang penting sekarang, kita mahu menang atas tiket PN. Soal gabungan lain belum ada dalam perancangan. Kita beri tumpuan penuh kepada PN terlebih dahulu,” katanya lagi.
Mengulas sentimen ‘Sabah for Sabahan’, Tuan Ibrahim menyifatkan ia sebagai slogan politik biasa sepertimana ‘Bangsa Johor’ di Johor dan ‘Gagasan Terengganu Kita’ di Terengganu.
“Sabah sejak dulu menerima parti nasional seperti BN dan kemudian PN. Sentimen itu bukan bermaksud menolak parti luar. Politik Sabah bersifat terbuka dan dinamik,” katanya lagi.
Menurut beliau, pemimpin PN Sabah adalah anak tempatan yang memahami isu rakyat negeri itu.
“Kemelut dalaman BERSATU di Semenanjung tidak menjejaskan persiapan jentera PN di Sabah.
“Masalah itu hanya melibatkan kepimpinan pusat dan tidak membabitkan Sabah. Jentera PN Sabah tetap berjalan lancar,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















