Presiden UMNO tarik kenyataan wujud Team B dalam DAP
KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini menjelaskan pendiriannya berhubung kenyataan sebelum ini yang menyentuh dakwaan kewujudan dua kem dalam DAP, selain bersetuju bahawa parti itu tidak mempunyai Team A atau Team B.
Menurut beliau, maksud sebenar ucapannya ketika penangguhan Perhimpunan Agung UMNO 2025 hanyalah untuk menjelaskan perbezaan kenyataan yang dikeluarkan oleh segelintir kecil pemimpin DAP berhubung isu dibangkitkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh dan bukannya menggambarkan perpecahan dalam parti tersebut.
“Isu yang dibangkitkan itu bukan asas kepada keputusan rasmi parti, sebaliknya pandangan daripada satu kumpulan kecil kepimpinan yang berbeza pendapat terhadap kenyataan Ketua Pemuda UMNO Malaysia,” katanya memetik laporan KOSMO!
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung PPP ke-72 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid turut menyatakan kesediaan menarik balik kenyataan berkenaan sekiranya ia disalah tafsir atau mengguris perasaan rakan sekutu dalam Kerajaan Perpaduan.
“Sekiranya kenyataan itu menyinggung perasaan DAP, saya menarik balik apa yang saya sebutkan. Tidak pernah menjadi niat saya untuk menggambarkan kewujudan dua kem dalam parti berkenaan,” katanya.
Tambah beliau, kepimpinan BN berpandangan pandangan peribadi daripada mana-mana kumpulan kecil yang berbeza pendapat tidak wajar dianggap sebagai pendirian rasmi sesebuah parti.
“Kita tidak seharusnya menganggap pandangan kumpulan yang berbeza pendapat dengan kepimpinan utama DAP sebagai pendirian rasmi parti itu. Saya berharap perkara ini dapat difahami oleh semua pihak,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








