BERITA SEMASA

RMK13: Prasekolah wajib umur 5 tahun, KPM sasar buka lebih banyak kemudahan baharu

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan membuka lebih banyak kemudahan prasekolah di seluruh negara sebagai persediaan pelaksanaan dasar pendidikan prasekolah wajib pada usia lima tahun di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelaksanaan pendidikan prasekolah wajib itu bertujuan memberi pengalaman pembelajaran asas yang holistik dan menyeluruh kepada kanak-kanak.

“Bagi memastikan usaha itu berjaya, lebih banyak kemudahan prasekolah bawah KPM akan dibuka di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Fadhlina, RMK13 akan memberi penekanan kepada pembangunan pendidikan dari peringkat prasekolah hingga menengah dengan fokus terhadap sistem kawal selia yang lebih berstruktur dan berkesan.

“Tumpuan Kerajaan MADANI ketika ini adalah memastikan kadar enrolmen murid peringkat prasekolah dan menengah mencapai tahap sejagat,” katanya sambil memaklumkan Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025 yang mewajibkan pendidikan menengah telah diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Fadhlina turut memaklumkan KPM menerima peruntukan sebanyak RM67 bilion untuk sektor pendidikan termasuk pembinaan sekolah baharu serta penambahbaikan infrastruktur pendidikan sedia ada di seluruh negara.

Katanya, antara inisiatif yang bakal dilaksanakan termasuk mewajibkan pembinaan sekolah dalam projek perumahan berskala besar serta memperluas konsep sekolah vertikal bagi mengatasi isu kekurangan tapak dan kepadatan murid di kawasan bandar.

Selain itu, KPM turut memberi penekanan terhadap pemantapan penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, pengukuhan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta literasi digital termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI).

“RMK13 adalah manifestasi iltizam dan ikhtiar Kerajaan MADANI untuk mereformasikan pendidikan negara menerusi pendekatan baharu yang radikal demi manfaat anak-anak Malaysia,” tambahnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button