BERITA SEMASA

KPM akan muktamad Garis Panduan Literasi AI menjelang September

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) kini dalam fasa akhir memuktamadkan Garis Panduan Literasi Kecerdasan Buatan (AI) yang dijangka siap sepenuhnya menjelang September tahun ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, garis panduan itu dirangka bagi memastikan penerapan teknologi AI di institusi pendidikan dilaksanakan secara beretika, selamat dan berlandaskan nilai murni.

“Elemen AI sedang diintegrasikan secara berperingkat dalam kurikulum, antaranya melalui mata pelajaran Teknologi dan Digital di sekolah rendah serta Sains Komputer, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dan Reka Bentuk dan Teknologi di peringkat menengah,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Fadhlina, KPM sentiasa komited dalam memperkukuh sistem pembelajaran berasaskan teknologi dan digital bagi memastikan murid bersedia menghadapi cabaran masa depan termasuk dalam bidang teknologi pintar seperti AI dan juga pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Beliau berkata, usaha tersebut merupakan sebahagian inisiatif di bawah Pelan Pendidikan Baharu (PPPM) 2026–2035 yang berteraskan lima keutamaan utama iaitu kualiti, akses dan ekuiti, ketersediaan sumber dan kecekapan, keluwesan serta kemampanan.

Pelan itu turut memberi penekanan terhadap penjajaran kurikulum dengan keperluan industri dan realiti pasaran kerja, pemerkasaan ekosistem TVET serta pembelajaran berasaskan teknologi seperti AI.

Sebagai persediaan ke arah perubahan landskap teknologi, KPM turut merancang pengenalan kurikulum baharu yang merangkumi asas AI bagi peringkat sekolah rendah dan menengah.

“Sebagai langkah inovasi, KPM kini sedang merintis konsep ‘AI-Powered Classroom’ di 11 sekolah terpilih bagi menyediakan laluan pembelajaran yang diperibadikan dan lebih adaptif,” ujarnya.

Fadhlina berkata, pelaksanaan garis panduan literasi AI itu merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang KPM untuk membina ekosistem pendidikan berasaskan teknologi yang inklusif dan berdaya tahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button