BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Suspek kes tikam didakwa alami masalah mental, KPM serah siasatan kepada polis

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius insiden tragis melibatkan kematian seorang pelajar akibat ditikam di sebuah sekolah menengah di Selangor semalam ekoran suspek dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, siasatan berhubung perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Insiden pelajar maut ditikam jadi tamparan kepada KPM - Ketua Pengarah Pendidikan
Mohd Azam bercakap dalam sidang media khas di Putrajaya semalam.

“Perkara itu masih dalam siasatan polis dan kita serahkan sepenuhnya kepada PDRM.

“Kita berikan kepercayaan penuh kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan terperinci,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya semalam.

Beliau berkata, KPM akan menunggu laporan penuh hasil siasatan sebelum mengambil langkah susulan, termasuk tindakan pencegahan di peringkat sekolah.

“Seperti yang saya sebutkan, kita ada kerjasama yang lebih erat dengan PDRM. Mereka juga akan bersama-sama kita memaklumkan langkah-langkah yang diambil bagi memastikan sekolah terus menjadi kawasan selamat,” jelasnya.

Mohd Azam turut menegaskan bahawa KPM tidak akan berkompromi terhadap sebarang isu yang mengancam keselamatan pelajar termasuk insiden melibatkan unsur keganasan atau gangguan emosi di sekolah.

“Saya telah mengarahkan agar semua pihak mengambil tindakan tegas dan memberikan perhatian serius terhadap keselamatan murid di sekolah masing-masing,” tegas beliau.

Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat (Kelas Peralihan) meninggal dunia selepas ditikam oleh pelajar lelaki Tingkatan Dua (Kelas Peralihan) di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya sekitar pukul 9.30 pagi semalam.

Kes kini dalam siasatan lanjut oleh PDRM termasuk aspek kesejahteraan mental suspek dengan KPM memberi jaminan akan memperkukuh program sokongan psikososial dan keselamatan di sekolah bagi mengelakkan tragedi seumpama itu berulang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button