Lelaki Rohingya ditemui mati dalam kolah, tujuh suspek ditahan
SUNGAI PETANI – Seorang lelaki etnik Rohingya dipercayai dipukul hingga mati sebelum mayatnya disorok dalam sebuah kolah dan ditimbus dengan tanah di sebuah rumah di Jalan Kampung Sungai Baru di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mangsa berusia lewat 20-an itu dipercayai bekerja sebagai tukang rumah dan menetap bersama majikannya di kawasan perumahan berkenaan sejak empat bulan lalu.
Menurutnya, polis menerima panggilan daripada seorang wanita pada pukul 10.30 malam, 28 Januari lalu memaklumkan suaminya dijumpai maut di rumah berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada tuduhan majikan yang mendakwa mangsa mencuri wang tunai berjumlah RM40,150, rantai emas dan subang hidung di rumah tersebut pada 4 Januari lalu.
“Suspek yang juga majikan mangsa, pernah membuat laporan polis berhubung kehilangan tersebut yang disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” memetik laporan BH online.
Wan Azharuddin berkata, suspek didakwa menahan mangsa bersama isterinya dan bapa mangsa yang memiliki kad pelarian Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sejak sebulan lalu.
“Mangsa dipercayai dipukul berulang kali oleh suspek bersama beberapa individu lain yang turut dipercayai etnik Rohingya untuk mendapatkan semula wang yang hilang.
“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan dibungkus dengan kain cadar, dimasukkan ke dalam kolah di bilik air dan ditimbus dengan tanah,” jelasnya.
Tambahnya, hasil pemeriksaan pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mendapati terdapat kesan ikatan pada kaki dan tangan mangsa, selain kesan lebam serta luka akibat pukulan objek tumpul di kedua-dua paha, kaki dan belakang badan.
Wan Azharuddin berkata, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang juga suspek utama telah ditahan selepas polis menemui dua rakaman video menunjukkan dia memegang tali dan memukul mangsa.
“Polis turut merampas senjata dan tali yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut semasa menggeledah rumah berkenaan.
“Siasatan lanjut mendapati suspek utama mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya lagi.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik dan Patologi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk dibedah siasat.
“Selain suspek utama, enam lagi individu etnik Rohingya turut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Kesemua suspek dijadualkan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






