BERITA SEMASA

Bapa mangsa nahas Jalan Kuching nafi keluarga kutip dana awam

KUALA LUMPUR – Bapa kepada kanak-kanak perempuan yang maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching, Sabtu lalu, menegaskan keluarganya tidak pernah membuka sebarang kutipan dana awam selepas kejadian itu.

Ahmad Shahir Mohammad Nor Izam berkata, kenyataan tersebut penting bagi mengelakkan insiden menyayat hati yang menimpa keluarganya dieksploitasi oleh individu tidak bertanggungjawab.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa kod QR yang menggunakan namanya memang ada dikongsikan oleh pihak Masjid Jamek Kampung Sungai Penchala, tempat beliau menjalankan tugas sebagai bilal.

Penjelasan itu dibuat menerusi satu hantaran di Threads menggunakan akaun @aqif.afifi, hari ini, dengan merujuk kepada kod QR atas nama Ahmad Shahir Ahmad Norizan (Abi Asiah).

Pada masa sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mengambil berat serta menyampaikan ucapan takziah dan kata-kata semangat kepada keluarganya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.44 petang itu, anak perempuannya, Asiah, mengalami kecederaan parah di kepala selepas Perodua Bezza yang dinaiki bersama bapanya terlibat dalam kemalangan berantai.

Nahas dipercayai berlaku apabila sebuah BYD Seal yang dipandu lelaki berusia 24 tahun merempuh bahagian belakang Perodua Bezza ketika kedua-dua kenderaan bergerak dari pusat bandar menghala ke Segambut.

Insiden itu turut membabitkan sebuah motosikal sebelum Perodua Bezza berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain, iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard serta Perodua Myvi.

Asiah kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur akibat kecederaan yang dialaminya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button