BERITA SEMASA

Pemandu EV nahas maut Jalan Kuching berdepan tiga pertuduhan esok

KUALA LUMPUR – Pemandu kereta elektrik (EV) yang terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan sehingga meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Asiah Ahmad Shahir di Jalan Kuching, Sabtu lalu, bakal didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, lelaki berusia 24 tahun itu akan dihadapkan ke mahkamah pada pukul 9 pagi.

“Suspek telah ditahan sepasukan pegawai dan anggota JSPT Kuala Lumpur di Hospital Damansara selepas dibenarkan keluar dari hospital sebelum dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi.

“Kertas siasatan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan pada pukul 3 petang sebelum pihak pendakwaan bersetuju supaya pertuduhan dikemukakan terhadap suspek esok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek akan berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 41(1), Seksyen 42(2) dan Seksyen 52(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Media sebelum ini melaporkan sebuah BYD Seal dipercayai dipandu secara melulu sebelum melanggar bahagian belakang Perodua Bezza yang dinaiki mangsa bersama bapanya kira-kira jam 3.44 petang Sabtu lalu.

Impak pelanggaran menyebabkan Perodua Bezza itu berpusing ke lorong kanan lalu merempuh tiga kenderaan lain, iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi.

Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sementara itu, bapa mangsa yang berusia 30 tahun mengalami kecederaan pada tangan kanan, manakala seorang penunggang motosikal Yamaha 135LC berusia 33 tahun cedera di kepala dan menerima rawatan di HKL.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button