BERITA SEMASA

Penunggang motosikal maut dipanah petir

CYBERJAYA – Seorang penunggang motosikal dilaporkan meninggal dunia setelah dipanah petir di sebuah jalan di Kampung Seri Cheeding, Banting, semalam.

Ketua Polis Kuala Langat, Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, dalam kejadian pada kira-kira pukul 6.20 petang itu, mangsa yang berusia 50 tahun sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Bandar Mahkota, Banting.

Difahamkan, mangsa dipanah petir ketika sedang melalui Jambatan Rimbayu menuju ke Ladang Teh Seri Cheeding.

Sejurus kejadian, mangsa terjatuh dari motosikal yang ditungganginya lalu pengsan.

Kata Ahmad Ridwan, mangsa kemudiannya dibantu oleh orang ramai yang turut melalui jalan berkenaan, bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan yang tiba kemudiannya di tempat kejadian.

“Panahan petir berkenaan turut melubangkan jalan berkenaan.

“Mangsa didapati mengalami kecederaan di bahagian kanan tengkuknya, dan juga lebam di bahagian perut dan paha akibat panahan berkenaan, dan luka-luka di dagu dan lutut setelah terjatuh dari motosikal,” kata Ahmad Ridwan dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya lagi, bedah siasat ke atas mangsa telah dilaksanakan pada pukul 10 pagi tadi dan mendapati kematian mangsa adalah akibat dipanah petir dan menambah,kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button