BERITA SEMASA

Anggota polis tular tampar penunggang motosikal dipanggil bertugas banteras mat rempit

JOHOR BAHRU – Anggota polis berpangkat konstabel yang tular menampar seorang penunggang motosikal di sebuah stesen minyak berhampiran Taman Perling kelmarin disahkan sedang bertugas dalam satu operasi membanteras aktiviti mat rempit di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, walaupun anggota terbabit ketika itu berada dalam tempoh cuti, namun berdasarkan rekod perkhidmatan, beliau dipanggil bertugas bagi membantu operasi motosikal yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.

“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan, namun tindakan menampar itu dipercayai berlaku secara spontan selepas penunggang motosikal berkenaan dikatakan cuba melarikan diri.

“Ketika kejadian, anggota polis itu cuba menahan motosikal mangsa, namun mangsa bertindak melarikan diri sebelum berlaku insiden tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Ab Rahaman berkata, laporan polis pertama dibuat oleh pihak polis sendiri selepas rakaman video kejadian itu tular di media sosial, sebelum mangsa tampil membuat laporan rasmi pada malam hari sama.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Bahagian Perundangan Bukit Aman sebelum diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Beliau berkata, setakat ini empat individu termasuk saksi dan anggota polis terbabit telah dipanggil bagi memberi keterangan, selain beberapa saksi lain akan dipanggil dalam masa terdekat.

“Polis juga sedang mengesan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian bagi membantu siasatan,” katanya lagi.

Mengulas status anggota polis berkenaan, Ab Rahaman berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an itu tidak digantung tugas atau ditahan reman, namun tidak dibenarkan menjalankan tugas operasi sementara siasatan dijalankan.

“Beliau masih bertugas seperti biasa, tetapi tidak terlibat dalam sebarang operasi lapangan sehingga siasatan ini selesai,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button