Mayat lelaki dalam gaung, polis klasifikasi kes bunuh
TAPAH – Penemuan mayat seorang lelaki di dalam gaung di Kampung Batu 23, Jalan Pahang dekat sini semalam disiasat sebagai kes bunuh.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Johari Yahya berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh semalam mendapati mangsa maut akibat dipukul dengan objek tumpul.
“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam dan luka lecet pada kepala, muka, dada, belakang badan serta kedua-dua tangan mangsa.
“Punca kematian dikenal pasti sebagai trauma tumpul berganda (multiple blunt trauma) akibat dipukul dengan senjata tumpul,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, susulan itu polis mengklasifikasikan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk usaha mengesan suspek yang terlibat.
Johari berkata, pihaknya turut mengambil cap jari mangsa bagi mengenal pasti identiti sebenar lelaki berkenaan yang ditemukan dalam keadaan terbaring di bawah tebing setinggi 15 meter, lengkap berpakaian kemeja-T dan berseluar pendek hitam.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan hadir ke balai polis berdekatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 05-4011222,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






