BERITA SEMASAPMX

PETRONAS akan berunding dapatkan minyak Rusia

KOTA BHARU – Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) akan berunding dengan Rusia untuk membeli minyak dari negara itu bagi memastikan bekalan dalam negara mencukupi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini banyak negara Eropah dan Amerika yang dahulu menyekat Rusia terpaksa berebut membeli minyak dari negara berkenaan.

“Nasib baik hubungan kita dengan Rusia masih baik. Jadi… pasukan PETRONAS boleh berunding dengan Rusia,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada pada Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Anwar kemudiannya menambah, tindakan diplomasi awal kerajaan berjaya memastikan kapal minyak negara menjadi antara yang terawal melepasi laluan Selat Hormuz.

Jelas beliau, tindakan sedemikian sekali gus mengelakkan gangguan besar terhadap rantaian bekalan tenaga negara.

Anwar memberitahu, ketegangan ‘geopolitik’ melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan negara Eropah memberi kesan langsung kepada sektor pengangkutan global, harga minyak serta bekalan baja yang menjadi keperluan penting negara.

“Alhamdulillah, kapal minyak Petronas semalam telah selamat tiba di Pengerang Integrated Complex. Keperluan penghantaran ke Pengerang ini penting kerana proses penapisan hanya boleh dilakukan di situ.

“Kejayaan tersebut hasil hubungan awal kerajaan dengan kepimpinan Iran, membolehkan laluan diberikan ketika rundingan antarabangsa mengenai masa depan Selat Hormuz masih menemui jalan buntu,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button