POLITIK

PRN Negeri Sembilan: Nicole Tan Lee Koon terus turun padang dengar masalah penduduk Bukit Kepayang

SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon memberi tumpuan kepada pendekatan turun padang bagi mendengar sendiri permasalahan penduduk sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau berkata, gerak kerja kempen berjalan lancar selepas proses penamaan calon dengan pemasangan bendera parti serta aktiviti bertemu pengundi dilakukan secara berterusan.

“Selepas penerimaan calon, saya arahkan semua logistik untuk naikkan bendera di hadapan kawasan. Kalau memandu melalui Bandar Raya Seremban, orang ramai boleh nampak bendera-bendera tersebut.

“Saya juga sudah tiga hari melakukan walkabout setiap pagi. Ia bukan sekadar mengedarkan risalah, tetapi saya duduk minum pagi bersama penduduk setempat dan mendengar luahan mereka,” katanya kepada Malaysia Tribune selepas pelancaran Menifesto Harapan di sini semalam.

Menurut Nicole Tan, walaupun beliau merupakan penyandang kerusi berkenaan, masih terdapat pelbagai isu yang perlu diberi perhatian, khususnya perkara berkaitan kemudahan awam.

“Sebahagian masalah seperti isu pihak berkuasa tempatan (PBT), jalan berlubang dan lampu jalan rosak bukan berada di bawah bidang kuasanya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), namun beliau tetap memainkan peranan sebagai penghubung antara rakyat dan agensi berkaitan.

“Orang ramai kadang-kadang tidak faham perkara itu bukan dalam bidang kuasa saya, tetapi sebagai wakil rakyat saya akan menjadi pemudah cara dan membawa isu tersebut kepada agensi berkenaan.

“Contohnya masalah banjir kilat, saya akan panjangkan kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya lagi.

Beliau berkata, walaupun masalah berkenaan sukar dihapuskan sepenuhnya, tindakan segera perlu diambil supaya tidak terus membebankan penduduk.

Dalam pada itu, Nicole Tan turut menyeru pengundi khususnya golongan muda supaya keluar menunaikan tanggungjawab pada PRN kali ini.

Beliau berkata, berdasarkan kajian pilihan raya sebelum ini, terdapat kumpulan pengundi yang memilih untuk tidak keluar mengundi dan jumlahnya memberi kesan besar kepada keputusan pilihan raya.

“Saya ingin merayu kepada golongan Gen Z dan milenial yang masih atas pagar supaya keluar mengundi. Namun saya juga ingin tahu apa yang mereka mahukan dan perkara yang perlu saya lakukan sebelum mereka membuat pilihan.

“Beritahu saya kehendak anda supaya saya boleh memahami keperluan rakyat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button