PH pertaruh rekod bantuan, insentif kebajikan pertahan mandat Negeri Sembilan
SEREMBAN – Pelbagai bantuan dan insentif kebajikan yang diperkenalkan kerajaan Negeri Sembilan menjadi antara asas utama Pakatan Harapan (PH) menagih sokongan pengundi agar terus memberi mandat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Timbalan Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan, Edy Noor Reduan berkata, rekod pentadbiran Aminuddin membuktikan kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan rakyat daripada golongan belia hingga warga emas.
Menurutnya, antara bantuan yang disediakan termasuk insentif RM500 kepada anak negeri yang berkahwin buat kali pertama, bantuan tahunan RM200 kepada warga emas serta bantuan sekali bayar RM1,000 kepada pesakit kanser.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menghargai golongan penggali kubur dengan pemberian bantuan khas RM1,000 secara sekali bayar.
“Ini menunjukkan kerajaan negeri menghargai semua lapisan masyarakat termasuk mereka yang banyak berjasa kepada komuniti.
“Selain itu, pelajar juga menerima pelbagai bantuan pendidikan termasuk RM500 bagi peringkat sijil, RM750 untuk diploma dan RM1,000 kepada pelajar ijazah yang layak,” katanya dalam temu bual yang disiarkan menerusi pod siar Jang Studio hari ini.
Tambah beliau, lebih 200 pelajar Kolej Yayasan Negeri Sembilan turut menikmati pelupusan pinjaman pengajian selepas menamatkan pengajian masing-masing.
Menurutnya, pendekatan itu mencerminkan usaha kerajaan negeri memperluaskan akses pendidikan kepada anak-anak Negeri Sembilan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








