POLITIK

PRN Johor: PH tawar ambulans DUN, bantu penduduk Bukit Naning tanggung kos rawatan

MUAR – Cadangan menyediakan perkhidmatan ambulans di bawah Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning bagi membantu penduduk mendapatkan rawatan kecemasan antara inisiatif yang dikemukakan oleh Md Ysahrudin Kusni sekiranya dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Bukit Naning itu berkata, cadangan berkenaan dibuat selepas mendapati ramai penduduk khususnya warga emas berdepan kesukaran mendapatkan pengangkutan ke hospital dan klinik.

Menurut Ysahrudin yang juga Timbalan Pengerusi PKR Johor, terdapat penduduk yang terpaksa menggunakan ambulans swasta dengan kos sekitar RM400 bagi setiap penghantaran.

“Apabila mereka terpaksa menggunakan ambulans swasta, mereka perlu membayar RM400 setiap kali penghantaran. Jika sebulan tiga atau empat kali, mereka terpaksa membelanjakan sehingga RM1,200,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Naning, hari ini.

Beliau berkata, selain menyediakan ambulans, program wakaf peralatan kesihatan seperti kerusi roda, katil pesakit dan peralatan asas turut akan dilaksanakan untuk kegunaan klinik serta surau.

Katanya, beliau juga komited untuk terus menyantuni warga emas secara berkala bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian.

Dalam sektor pertanian pula, beliau berkata, subsidi baja dan benih nanas akan diperjuangkan bagi mengurangkan kos pengeluaran pekebun.

Selain itu, latihan serta kaedah pertanian moden akan diperluaskan, selain membantu meneroka pasaran baharu bagi produk pertanian tempatan.

“Dalam masa yang sama, kita akan perjuangkan subsidi baja dan benih nenas bagi membantu mengurangkan kos pengeluaran pekebun. Latihan dan model pertanian moden akan diperluaskan supaya pekebun kecil dapat meningkatkan hasil dan produktiviti mereka.

“Saya juga akan membantu meneroka pasaran baru untuk produk pertanian tempatan agar hasil tanaman memberikan pulangan yang lebih baik kepada petani,” katanya lagi.

Pada masa sama, Ysahrudin turut berhasrat untuk meningkatkan usaha bagi menambah penambahan perangkap haiwan serta langkah kawalan perosak yang lebih berkesan bagi mengurangkan kerosakan tanaman akibat haiwan liar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button