Tok Min tegaskan bukan ‘lari’ dari Sikamat, pilih bertanding di Linggi demi terus berbakti
SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan keputusan beliau untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini bukan kerana “lari” dari kerusi Sikamat, sebaliknya dibuat atas kehendaknya sendiri untuk meneruskan khidmat kepada rakyat di kawasan baharu.
Menurut beliau, Sikamat merupakan kerusi yang menjadi titik permulaan perjalanan politiknya sejak 2008 dan telah diwakilinya selama empat penggal termasuk ketika memegang jawatan sebagai Menteri Besar.
“Saya bukan lari dari Sikamat. Empat penggal saya di Sikamat. Dari seorang ADUN pembangkang sehinggalah menjadi Menteri Besar, saya masih di Sikamat,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Aminuddin berkata, sepanjang berkhidmat di Sikamat, beliau menempuh pelbagai cabaran bersama penduduk setempat, termasuk ketika bergelar wakil rakyat pembangkang yang berdepan kekangan peruntukan.
Beliau turut menyifatkan hubungan yang terjalin dengan penduduk Sikamat kini bukan lagi sekadar hubungan antara wakil rakyat dan masyarakat, sebaliknya sudah seperti sebuah keluarga.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan satu majlis kesyukuran dan doa selamat diadakan di rumah keluarga Allahyarham Cikgu Badaruddin, antara individu terawal yang menerima dan menyokong beliau ketika mula berkhidmat di Sikamat.
Mengulas mengenai penggantinya, Aminuddin berkata, beliau menyerahkan tanggungjawab mempertahankan kerusi Sikamat kepada Ustaz Norazman dan berpesan agar kawasan itu terus dijaga dengan baik.
“Saya sayang Sikamat. Terima kasih Sikamat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa hasrat bertanding di DUN Linggi adalah bagi meneruskan khidmat kepada masyarakat di kawasan itu dan berjanji akan bekerja lebih keras sekiranya diberikan mandat oleh rakyat pada PRN kali ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








