Kerjasama dengan PN adalah persefahaman, bukan perjanjian – Ahmad Zahid
REMBAU – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 adalah satu persefahaman dan bukan perjanjian atau kesepakatan.
Ahmad Zahid berkata, gabungan itu percaya melalui langkah taktikal itu, dengan BN bertanding di 25 kerusi dan PN di 11 kerusi, BN akan kembali merampas Negeri Sembilan, lapor Buletin TV3.
“Kita akan pastikan koordinasi yang dilakukan ini bukan satu perjanjian, bukan satu kesepakatan tetapi sebagai satu persefahaman.
“Persefahaman ini cukup penting bagi kita kerana kita dulu hanya mempunyai 14 kerusi dimenangi di bawah BN.
“Insya Allah, dengan langkah taktikal yang kita lakukan ini, Negeri Sembilan akan kembali ditadbir oleh BN.
“Gelombang biru ini sudah datang ke Negeri Sembilan, insya Allah,” katanya ketika berucap di hadapan penyokong BN selepas mengiringi Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Pusat Penamaan Calon di Dewan Sri Rembau di sini, hari ini.
Rabu lalu, BN mengumumkan 25 daripada keseluruhan 36 calon bagi mewakili gabungan itu pada PRN Negeri Sembilan Ke-16.
Mohamad memaklumkan, 11 lagi kerusi akan diumumkan kemudian kerana BN membuat persefahaman dengan ‘kawan’ yang boleh dipercayai pada PRN kali ini.
Keesokan harinya, PN mengumumkan calonnya bagi mengisi 11 kekosongan berkenaan, membabitkan lima calon daripada PAS, empat daripada WAWASAN dan masing-masing satu dari GERAKAN dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Pada masa sama, Ahmad Zahid turut menyeru jentera BN supaya bekerja keras bagi memastikan kejayaan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat, dengan majoriti lebih tinggi, selain bagi calon BN di DUN Chembong dan Kota.
“Moga-moga dengan cara dan semangat baharu, gelombang biru yang datang, kita doakan dan kita bekerja supaya majoriti lebih tinggi.
“Kita hormati institusi adat dan Raja, kita tatang. Insya Allah Tok Mat, kita tak tebuk atap, kita buka atap baharu,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















