Penyelenggaraan infrastruktur teras kempen Tok Naz di Ampangan
SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Muhammad Nazri Kassim menyasarkan aspek penyelenggaraan infrastruktur sebagai fokus utamanya pada kempen kali ini.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Naz dalam kalangan penduduk tempatan berkata, kedudukan Ampangan di tengah-tengah pusat bandar raya dengan demografi kependudukan matang menjadikan pembangunan baharu di Ampangan amat terhad.
“Saya mahu beri keutamaan kepada kerja-kerja penyelengaraan bagi semua infrastuktur sedia ada. Ini termasuk jalan persekutuan, jalan negeri dan lain-lain jalan dengan kerjasama pihak berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
Tambahnya, beberapa kawasan di Ampangan yang merentasi sungai memerlukan kerja-kerja penyelenggaraan parit dan longkang dijalankan dengan baik.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan program tinjauan mesra di Kampung Jiboi Baru, di sini hari ini.
Andai diberi mandat oleh pengundi pada 1 Ogos ini, Tok Naz turut menyimpan hasrat membangunkan kawasan menarik di Ampangan sebagai tempat rekreasi terutama berhampiran sungai.
“Sungai juga boleh dibersihkan dan disediakan kemudahan untuk orang awam,” katanya sambil menambah aduan masalah pengurusan sampah di sesetengah lokasi dan isu banjir sebagai contoh di Kampung Ismail, di sini, turut dibangkitkan penduduk dalam tinjauan sepanjang berkempen.
Di kampung berkenaan, katanya, longkang sedia ada dan bentuk sungai dikesan mempunyai aras ketinggian tidak sekata, sekali gus menyebabkan banjir kerap melanda.
“Ia menyebabkan air bertakung dan boleh mengundang pembiakan aedes, sekali gus menjejaskan kesihatan penduduk setempat,” katanya lagi.
Bagi DUN Ampangan, Tok Naz berdepan saingan tiga penjuru menentang bekas ADUN Ampangan, Datuk Dr Rafie Abd Malek dari Perikatan Nasional (PN) dan Noor’azah Harun yang mewakili BERSATU.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















