AMANAH dakwa perpaduan BN-PN di Negeri Sembilan hanya demi kuasa
SEREMBAN – Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abdul Samad mendakwa naratif perpaduan ummah yang dibawa Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan adalah semata-mata untuk mendapatkan kuasa.
Beliau berkata, walaupun konsep perpaduan pada asasnya adalah sesuatu yang baik, tujuan di sebalik pembentukan perpaduan itu perlu dilihat sama ada membawa kebaikan atau sebaliknya.
“Pakatan Harapan (PH) mengambil maklum naratif yang ingin dibawa BN dan PN yang bergabung dalam PRN Negeri Sembilan, iaitu mereka memperjuangkan perpaduan ummah.
“Namun persoalannya, adakah perpaduan yang ingin dibina ini atas kebaikan dan ketakwaan atau atas kejahatan dan perbalahan?” katanya pada sidang media bersama pimpinan PH di sini, hari ini.
Khalid berkata, perpaduan yang dibina dengan tujuan menjatuhkan kerajaan yang disifatkan berprestasi tinggi tanpa alasan munasabah bukanlah perpaduan yang membawa kebaikan.
Menurutnya, sokongan sepatutnya diberikan kepada kerajaan yang menunjukkan prestasi baik demi kepentingan rakyat.
Beliau turut memetik ayat daripada Surah al-Ma’idah ayat dua yang menyeru umat Islam supaya saling membantu dalam perkara kebaikan dan ketakwaan serta tidak membantu dalam perkara kejahatan dan permusuhan.
Dalam pada itu, Khalid turut mengkritik kenyataan pemimpin BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang didakwa menyeru penyokong untuk menentang Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Apa salah Tok Min (Aminuddin) sehingga mahu dilanyak beramai-ramai? Ada dia curi duit rakyat? Ada dia buat kesalahan? Tiada.
“Tetapi ada pihak cuba menanam kebencian dan kemarahan terhadap beliau,” katanya lagi.
Khalid berkata, sesuatu perpaduan perlu mempunyai asas yang jelas dan tidak hanya dibina atas faktor kaum atau kelompok tertentu.
“Kalau semata-mata atas asas kaum yang sama, bangsa yang sama, maka itu adalah asabiah atau perkauman.
“PH sentiasa berusaha ke arah perpaduan. Kami mahu Melayu bersatu, Cina bersatu, India bersatu dan seluruh rakyat Malaysia bersatu, tetapi bukan atas dasar asabiah, sebaliknya atas dasar memperjuangkan kebaikan,” katanya lagi.
Beliau mendakwa kerjasama BN dan PN di Negeri Sembilan berlaku kerana kepentingan politik dan bukannya demi kepentingan bangsa atau agama.
“Kami menyeru rakyat, khususnya orang Melayu, supaya jangan terpengaruh dengan seruan yang dimainkan UMNO, BN dan PN berasaskan emosi kaum.
“Sokonglah pihak yang menunjukkan prestasi dan khidmat kepada rakyat,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















