AGAMABERITA SEMASA

Ayob Khan ingatkan pemimpin jaga amanah, elak khianati tanggungjawab

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mengingatkan golongan pemimpin supaya menjaga amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka dan tidak mengkhianati kuasa yang dipegang.

Menurutnya, dalam era yang penuh dengan fitnah dan penyebaran maklumat tidak sahih di media sosial, sifat amanah serta integriti semakin terhakis sehingga kerap menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.

“Sekarang ini banyak sangat fitnah yang dilemparkan dan disebarkan di media sosial, sehingga orang mudah percaya tanpa menyemak fakta.

“Bila kita terangkan balik dengan bukti sebenar, mereka tidak mahu menerima. Inilah akhir zaman, penuh dengan fitnah,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Masjid Al-Busyra di Merbok, Kedah pada 17 September lalu.

Melalui video yang dimuatnaik di Facebook beliau, Ayob Khan berkata, pengaruh media sosial dan kuasa wang sering dimanipulasi pihak tertentu untuk menindas orang yang jujur.

Lebih malang katanya, individu berprinsip dan berintegriti sering dipinggirkan serta difitnah hingga dibenci masyarakat.

Beliau menegaskan, pemimpin yang diberi tanggungjawab perlu menghayati firman Allah dalam Surah Al-Ahzab ayat 72 mengenai amanah yang berat sehingga langit, bumi dan gunung enggan memikulnya, namun manusia tetap menerimanya walaupun bersifat lemah.

“Bila kita pegang amanah, khususnya jawatan besar sama ada dalam polis, imam masjid, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen, Menteri atau Perdana Menteri, kita kena ingat bahawa kita akan ditanya di hadapan Allah. Jangan sampai amanah dikhianati hanya kerana pangkat dan kuasa,” tegasnya.

Mengaitkan dengan sambutan Maulidur Rasul, Ayob Khan menyeru masyarakat khususnya pemimpin, menghayati empat sifat utama Rasulullah SAW iaitu siddiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana).

“Kalau dapat amalkan satu atau dua sifat ini pun sudah cukup baik, terutama siddiq dan amanah.

“Bila ada sifat ini, Insya-Allah kita akan melaksanakan tugas dengan baik kerana takut kepada Allah, bukan kepada manusia,” katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya pemimpin tidak terlalu angkuh dengan kuasa serta kedudukan kerana pangkat dan darjat duniawi hanya sementara.

“Apabila bersara, semua pangkat, uniform dan pingat akan ditinggalkan. Jadi jangan sombong dengan kuasa, jangan khianati amanah yang kita dapat,” pesannya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button